Skip to main content

Replika kelip-kelip promosi pelancongan Nibong Tebal, kata Guan Eng

STRUKTUR replika kelip-kelip (depan) dan sruktur replika kapal (belakang) yang siap dinaiktaraf di Bulatan Jalan Sungai Daun, Nibong Tebal.

NIBONG TEBAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap replika kelik-kelip yang siap dinaik taraf di Bulatan Sungai Daun akan menjadi mercu tanda bandar Nibong Tebal serta mampu menggamit pelancong serta peminat binatang kategori serangga itu ke negeri ini.

“Tambahan pula kedudukannya yang amat strategik di mana bulatan ini merupakan laluan utama kenderaan ke bandar Nibong Tebal dari Butterworth dan Kuala Lumpur.

“Kerja-kerja menaiktaraf ini seiring dengan dasar Kerajaan Negeri pada hari ini untuk meningkatkan promosi pelancongan di negeri ini selari dengan Tahun Melawat Pulau Pinang,” katanya pada Majlis Perasmian Projek CSR Bulatan Kelip-kelip dan Mercu Tanda Kapal Nibong Tebal di sini baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemaju perumahan, Epic Valley Holdings Sdn. Bhd. kerana menyumbang sebanyak RM80,000 atas nama program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk projek penarafan itu.

Difahamkan, projek penarafan tersebut adalah usahasama pihak korporat dengan sokongan Ahli Dewan Undanga Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang.

Sebelum itu, Maimunah memberitahu, sumbangan RM80,000 itu adalah terdiri oleh pembiayaan kos penyelenggaraan untuk mengindahkan semula kawasan lapang berkeluasan 4,745 meter persegi, yang berada di dalam rizab jalan selenggaraan JKR.

“Syarikat Epic Valley juga telah bersetuju untuk menyelenggara projek ini untuk tempoh tiga tahun...langkah ini amat dialu-alukan kerana sebelum ini mercu tanda yang dibina menjadi usang kerana tiada pihak yang mengambil tanggungjawab untuk menyelenggara struktur tersebut.

“Di sini saya juga ingin menyeru agar syarikat-syarikat korporat yang lain dapat mengikut jejak langkah Epic Valley dan tampil untuk menaja 32 buah lokasi yang telah dikenalpasti di bawah program CSR,” ujar Maimunah.

Selain Lip Chee, hadir sama antaranya Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato' Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal), Ir. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran MPSP) dan Tan Sri Dato' Paduka Prof. Dr. F'ng Ah Seng (Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn. Bhd.).

Difahamkan, struktur replika kelip-kelip yang dibina di sini adalah berdasarkan wujudnya eko sistem unggas itu di sekitar Tanjung Berembang, Seberang Perai Selatan.