Skip to main content

Mangsa tiga rumah dijilat api dapat bantuan KN, ZPP, ujar Dr. Afif

DR. Afif Bahardin (dua dari kanan) dan beberapa pegawai lain meninjau salah sebuah rumah yang hangus terbakar dalam kejadian pada awal pagi 22 Februari lalu di Kampung Permatang Rawa.

PERMATANG RAWA – Dua rumah hangus dijilat api, manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kecil dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Permatang Rawa di sini, 22 Februari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin semasa melawat kawasan kejadian memberitahu bahawa Kerajaan Negeri menyerahkan sumbangan daripada sumber Tabung Bencana TYT serta Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada ketiga-tiga keluarga terbabit.

“Alhamdulillah, kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku walaupun tiga buah rumah yang terlibat.

“Bantuan pada hari ini merupakan bantuan permulaan sebelum bantuan-bantuan yang lain disalurkan kepada mereka yang terlibat,” jelas Dr. Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan kepada pemberita.

Mengambil iktibar daripada insiden tersebut, Dr. Afif turut menasihatkan penduduk supaya memastikan pendawaian elektrik di kediaman masing-masing dalam keadaan selamat.

“Saya berharap agar penduduk dapat menitikberatkan pendaiwaian elektrik di rumah masing-masing dan lebih berhati-hati pada musim panas dan kering ini kerana kebakaran lebih mudah berlaku,” katanya.

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Zulkifli Long turut hadir pada majlis penyampaian bantuan itu.