03 February 2016

Krisis MB Kedah, Guan Eng enggan ulas sehingga istiadat angkat sumpah berlaku

KETUA Menteri Pulau Pinang.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng enggan mengulas lanjut sehinggalah istiadat majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah yang baharu berlaku.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, dan akan diganti oleh Datuk Ahmad Bashah Md. Hanapiah esok.

"Sekurang-kurangnya saya perlu memastikan apakah keadaan yang sebenar di Kedah kerana ada orang cakap kedudukan sokongan (ADUN Kedah) sekarang 17:17 dan masih ada dua (ADUN) 'berkecuali'.

"Kita pun tidak tahu apakah sebenarnya yang sedang berlaku...sungguhpun telahpun diumumkan, kita tunggulah (istiadat majlis) angkat sumpah," jelas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kepada pemberita dekat Komtar di sini, tengah hari tadi.

Semalam, Mukhriz yang juga anak mantan perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, selepas kira-kira dua minggu krisis politik kepartian melanda negeri berkenaan.

Dalam kenyataannya, Mukhriz dilaporkan meleparkan sinis kepada Ahmad Bashah, yang disebut-sebut sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.

"Jangan lena masa angkat sumpah,” sinis Mukhriz di Wisma Darul Aman dekat Alor Setar.

Memetik sumber portal berita Malaysiakini, Mukhriz mengumumkan keputusan untuk berundur selepas dimaklumkan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti ADUN di negeri ini.

21 ADUN BN dan 15 ADUN pembangkang di DUN Kedah telah menyuarakan pandangan mereka kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada hari Isnin dan Selasa lalu.

Pelantikan Ahmad Bashah sebagai menteri besar Kedah yang baru diumumkan dalam satu sidang media khas, oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din pagi ini.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru di Kedah itu, Guan Eng dalam sidang media berasingan meminta semua pihak supaya menghormati protokal Istana Kedah, serta tidak membuat sebarang andaian.

Ulang Guan Eng lagi, jalan demokrasi terbaik dalam krisis itu adalah dirujuk pada DUN Kedah sendiri.

"Saya mengulangi pendirian parti DAP yang telahpun diumumkan pada minggu lepas, sekiranya kita nak hormati demokrasi, jalan keluar yang paling baik ialah untuk kembali kepada Dewan Undangan Negeri.

"Biar suatu usul tak percaya dibentangkan, dan biar (anggota) Dewan Undangan Negeri yang memutuskan," jelas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus