Skip to main content

Jagdeep syor kaji semula prosedur lulus HAPPY!

KETUA Menteri merakamkan bersama-sama penduduk setempat, selepas Majlis Pemasangan Lif Rumah Pangsa Bungah Tanjong di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Sehingga kini baru 24 Projek Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) diluluskan untuk membaikpulih rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah di negeri ini, manakala 144 permohonan lain didakwa masih dilengah-lengahkan oleh Kerajaan Pusat.

JAGDEEP Singh Deo
Justeru, Jagdeep Singh Deo berkata Kerajaan Negeri akan mengkaji semula prosedur kelulusan peruntukan HAPPY! atau Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang.

"Sebelum ini, kita (Kerajaan Negeri) hanya meluluskan HAPPY apabila TP1M diluluskan oleh Pusat.

"Jadi, saya cadang kita (Kerajaan Negeri) mengkaji semula dana yang disalurkan kepada pemohon," jelas Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan berkenaan pada hari ini.

Bahkan katanya, Kerajaan Negeri turut disyor membiayai sebahagian hatta keseluruhan kos penyelenggaraan berwajib yang diperlukan penduduk kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merasmikan majlis pemasangan dua lif baru yang menelan belanja RM117,236 di Rumah Pangsa Bunga Tanjong di sini.

Semasa berucap, Guan Eng memuji badan pengurusan bersama (JMB) setempat kerana turut menyumbang RM23,447 untuk projek penyelenggaraan itu.

"Ini adalah sebahagian perkongsian, kita (Kerajaan Negeri) selesaikan masalah bersama secara bersama," jelas Ahli Parlimen Bagan itu.

Turut berucap, ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng dan Phee Boon Poh (ADUN Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar).

Bagi tiap-tiap TP1M yang diluluskan, difahamkan, sebelum ini HAPPY! membiayai 10 peratus hingga 30 peratus baki kos penyelenggaan perumahan, yang sepatutnya ditanggung oleh penduduk berwajib.

Sebanyak 48 HAPPY! diluluskan sejak skim itu diperkenalkan, sedangkan Kerajaan Pusat dalam tempoh sama meluluskan 24 TP1M sahaja.

Direkodkan, sebanyak RM1 peruntukan HAPPY! telahpun dibelanjakan pada tahun 2013, diikuti, RM2.4 juta (2014) dan RM2.8 juta (2015).