Skip to main content

Guan Eng harap Mohd. Faiz terima Anugerah Puskas FIFA 2016 selepas cipta 'gol ajaib'

MOHD. Faiz Subri diiringi isteri, Norzawanis Hashim dan anak, Akif Fayyadh merakamkan gambar kenang-kenangan selepas sidang media di sini petang tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap 'gol ajaib' yang dihasilkan melalui sepakan percuma Mohd. Faiz Subri, 29, lalu luar jangka melencong ke gawang lawan baru-baru ini turut melayakkan penyerang Pulau Pinang berkenaan menerima Anugerah Puskas FIFA 2016 kelak.

"Saya suka anggap ia 'gol ajaib' daripada Mohd. Faiz Subri yang sekarang mendapat perhatian dunia dan media antarabangsa.

"Buat kali pertama seorang pemain Malaysia, (hantaran) golnya disenaraikan sebagai calon penerima (Anugerah) Puskas.

"Bukan kerana Mohd. Faiz adalah penyerang Pulau Pinang, tetapi inilah harapan semua peminat-peminat bola," jelas Guan Eng di sini, petang tadi.

Guan Eng turut menyerahkan insentif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berjumlah RM10,000 kepada Mohd. Faiz, yang diiringi isteri, Norzawanis Hashim, 29, dan anak, Akif Fayyadh, 4.

Timbalan Ketua Menteri 1, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, dua Exco Kerajaan Negeri lain, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Dr. Afif Bahardin, serta Dato' Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) turut menyaksikan majlis penyampaian insentif tersebut.

Turut serta, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dato' Seri Nazir Ariff Mushir Ariff dan Ketua Jurulatih, Jackson F. Tiago serta anggota jawatankuasa FAP lain.

Mohd. Faiz pada sidang media sama memberitahu bahawa beliau berlatih membuat hantaran melencong, dengan bimbingan Jackson.

"Sejujurnya, saya sendiri masih terkejut selepas keesokan hari apabila bangun dari tidur, tengok laman sosial dan internet ianya telah menjadi viral.

"Masih jauh untuk sama seperti itu (Roberto Carlos), saya memang ada berlatih mengambil sepakan percuma bersama rakan-rakan lain seperti yang diarahkan oleh jurulatih,'' ujarnya dalam nada rendah diri.

Manakala, Nazir Ariff dalam sidang media berasingan sehari sebelum itu membuat lelongan atas talian jersey nombor 13 Mohd. Faiz dengan bidaan mula senilai RM100,000.

Katanya, lelongan itu antara lain demi mendorong lebih banyak sektor korporat tampil menaja sert menyokong FAP memburu sekurang-kurangnya tangga ke-6 teratas dalam Liga Super 2016 musim ini.



Terdahulu, Mohd. Faiz pada 16 Februari lalu membuat hantaran melencong tersebut di Stadium Bandaraya dekat di sini, semasa menentang pasukan pelawat dari Pahang dan menang 4-1.

Rakaman "Knuckleball" atau sepakan pada kelajuan rendah yang dihasilkan oleh Mohd. Faiz kemudiannya bukan sahaja menggamit rasa kagum netizen, bahkan turut mendapat liputan beberapa media antarabangsa seperti Sports Illustrated, The Independent, Sydney Morning Herald, dan Mirror.

Mirror umpamanya melaporkan, PuskasAward winner 2016? Watch the Malaysian free-kick so bendy it defies laws of physics.

Sepakan Mohd. Faiz juga disebut-sebut mirip teknik sepakan percuma "banana kick" bintang bola sepak Brazil, Roberto Carlos ketika beraksi menentang Perancis dalam kejohanan Tournoi de France pada 1997.

Anugerah Puskas yang diwujudkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada penjaring gol tercantik sepanjang tahun, sejak 2009, sempena memperingati penyerang Real Madrid era 1950-an, Ferenc Puskás.