Skip to main content

Bukan sahaja zodiak Kambing, Guan Eng harap Pulau Pinang pun paling bertuah sempena Tahun Monyet Api

KETUA Menteri merakamkan gambar dengan pemimpin negeri lain, pada majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Kepala Batas di sini, malam tadi.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

BERTAM - Menjelang sambutan Tahun Monyet Api pada 8 Februari ini diharap bukan sahaja membawa tuah terbanyak kepada mereka yang lahir dalam tahun zodiak Kambing, bahkan secara umum untuk Kerajaan Pulau Pinang dan semua rakyat di negeri ini. 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Kepala Batas di perkarangan Jalan 1 Kepala Batas, malam ini.

"Kita hadapi banyak cabaran kerana ekonomi negara dan kehidupan rakyat yang semakin teruk, tetapi, yang paling penting, siapa boleh selamatkan ekonomi negara kelak, rakyat tidak susah lagi sekarang.

"Apabila Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang bersih dan cekap urus ekonomi, rakyat akan senang dan tidak perlu dibebankan dengan pelbagai cukai untuk menyelamatkan kewangan Kerajaan Pusat yang (dikatakan hampir) bankrap.

"Pada malam ini,  saya sangat gembira melihat semua kaum dan (penganut) semua agama di bawah bendera Kerajaan Negeri...diharapkan, apabila semua rakyat bersatu, ekonomi negara boleh diselamatkan," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

LIM Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan turut mempertikai beberapa perkara yang diumumkan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 Kerajaan Pusat.
Mengulas mengenai pengubahsuaian Bajet 2016 oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Guan ENG berkata, sepatutnya kadar levi untuk buruh asing tidak wajar dinaikkan sekali ganda, terutama  semasa ekonomi negara kian teruk kini.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan sepatutnya tidak meneruskan pelaksanaan 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta pemotongan 3 peratus caruman Kumpunan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), melalui pengubahsuaian Bajet 2016 tersebut.

Ini kerana katanya, Kerajaan Pusat didakwa mengutip pelbagai cukai untuk menampung ketirisan kewangan negara, hatta membebankan rakyat terbanyak.

Sejurus selesai memberi ucapan, Guan Eng turut menyampaikan hamper kepada sekumpulan warga emas terpilih, serta 'angpau' Tahun Baru Cina kepada kanak-kanak di sini.

Sebelum itu, Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng merakamkan penghargaan kepada semua anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana saling berganding tenaga menganjurkan majlis jamuan malam tersebut.

Turut berucap, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hin Wai dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohamad Shaipol Ismail. 

Hadir sama beberapa Ahli Majlis MPSP lain serta para Pegawai Penyelaras KADUN (PPK).

Kumpunan Sugar Baby Doll dan Naib Juara Idola Kecil TV9 (2012), "Adik Darling" atau nama sebenarnya Wan Azlyn Mohamad Shah antara artis yang menyampaikan lagu kebudayaan dalam bahasa Tionghua, di depan lebih 500 orang di sini.

ADIK Darling" atau nama sebenarnya Wan Azlyn Mohamad Shah mendendangkan lagu kebudayaan Cina. 



Difahamkan, terdapat 12 zodiak antaranya Tahun Tikus, Lembu, Harimau, Arnab ataupun Naga, masing-masing dianggap lambang pada sifat dan personaliti berbeza mengikut kitaran tahun.

Pun begitu, Tahun Monyet Api yang akan disambut tidak lama lagi, menurut ramalan pakar Feng Syui, mereka yang dilahirkan pada tahun Kambing merupakan zodiak yang paling bertuah.