Skip to main content

Belajar akupunktur demi rawat ibu, kata pengasas D'Lynn Terapi Sunnah Kepala Batas

FADZLINA Hassan (tengah) saling bertukar pendapat mengenai proses EKS dengan dua pelanggan setianya di D'Lynn Terapi Sunnah berhampiran Kompleks Dato' Kailan, Kepala Batas baru-baru ini. Info lanjut,  hubungi 0182246369

ZAMAN ekonomi tanah air yang kian mencabar belakangan ini, sedikit banyaknya dikatakan memberi kesan berantai kepada semua pihak, termasuk ahli perniagaan kecil dan sederhana (EKS) di Pulau Pinang.

Lynn atau nama sebenarnya Fadzlina Hassan, 34, pengasas spa kecantikan dan pusat rawatan D'Lynn Terapi Sunnah bagaimanapun mengaku bahawa perniagaan yang diceburinya sejak empat tahun lalu kian berkembang.

"Pada era ekonomi yang serba mencabar seperti sekarang ini, ada empat bidang bisnes yang masih diperlukan, iaitu perkhidmatan, perubatan, pendidikan dan makanan.

"Macam diketahui umum, D'Lynn Terapi Sunnah ini berdiri dalam dua bidang, iaitu perkhidmatan dan secara tak langsung dalam perubatan juga.

"Kreativiti dalam perniagaan memang menjanjikan pulangan yang memuaskan," kata Lynn semasa diwawancara oleh fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB di D'Lynn Terapi Sunnah dekat Kompleks Dato' Kailan, Kepala Batas baru-baru ini.

Lynn, merupakan ibu tunggal kepada tiga cahaya mata yang masih kecil.

Di spa, beliau dibantu oleh adik kandungnya dan beberapa pekerja sambilan.

"Selalunya pelanggan akan membuat temu janji dahulu, kerana pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan hari cuti umum memang 'sesak'.

"Kalau datang terus, nasib ada 'kosong', dapatlah mendapat perkhidmatan di sini," jelas beliau.

Menurut Lynn, pelbagai perkhidmatan rawatan alternatif ditawarkan di D'Lynn Terapi Sunnah.

Antaranya, bekam, akupanktur, kiropraktik (perbetul tulang badan), refleksiologi, rawat resdung, urut badan, rawat kecantikan wanita dan sebagainya.

Hikmah ibu strok
Lynn memberitahu, beliau pernah bekerja makan gaji, menjadi agen insurans serta pernah membuka butik kecantikan, sebelum memberi tumpuan sepenuh masa menubuhkan D'Lynn Terapi Sunnah.

"Semasa mak kena lumpuh itu, kami sekeluarga pun terkapai-kapai mencari rawatan...kadang-kadang (bermusafir) jauh dan saya terpaksa berhenti kerja (makan gaji).

"Selepas itu, saya belajar akupunktur untuk rawatan strok, kencing manis dan darah tinggi.

"Apabila dibuat akupunktur tiga kali kepada mak, beliau sudah boleh berjalan, tetapi tidak stabil sebab lumpuh sebelum itu.

"Selepas mak dah sembuh, kenapa tidak saya kongsi (perkhidmatan rawatan) dengan orang yang memerlukan rawatan akupunktur ini," kata Lynn..

Kata Lynn, D'Lynn Terapi Sunnah kini menerima pelanggan lebih 300 orang.

"Tiap-tiap ujian yang Allah anugerahkan, ada hikmahnya.

"Kalau usia D'Lynn Terapi Sunnah ini pun empat tahun, ertinya emak saya pulih dari lumpuh lebih empat tahun lah," jelas Lynn.

Kreadiviti, modal kecil
Percaya tidak percaya, D'Lynn Terapi Sunnah ditubuhkan dengan bekalan modal sekecil RM1,000 sahaja, itupun untuk membeli aksesori rawatan semata-mata.

Selebihnya, menurut Lynn, mereka yang berminat dengan bisnes seperti D'Lynn Terapi Sunnah perlu ketekunan dalam meningkatkan kemahiran serta mutu pelanggan.

"Saya tidak belajar secara keseluruhan, tetapi satu siri ke satu siri yang lain.

"Mula-mula belajar memang untuk rawat lumpuh emak sahaja, jadi saya pilih siri rawatan untuk rawat sakit emak sahaja.

"Macam saya yang tidak mempunyai modal yang banyak, kemahiran akupunktur ini merupakan modal perniagaan paling asas untuk dikembangkan.

"Saya mula bisnes dengan modal serendah RM1,000 sahaja, tetapi Alhamdulillah kita boleh melihat hasilnya seperti yang ada pada hari ini....untuk peralatan sahaja.

"Apabila kita rawat seorang pesakit, dan beliau pulih, beliau pasti akan menjadi pelanggan setia dan akan membawa pelanggan baru yang lain," kata Lynn lagi.

Cabaran
Lynn secara peribadi mengaku beliau masih sebagai 'pendatang baru' sungguhpun telah lebih empat tahun mempunyai bisnes spa kecantikan dan rawatan alternatif.

Justeru, beliau senantiasa membina kepercayaan kepada semua pelanggan yang pernah bertandang ke D'Lynn Terapi Sunnah.

Katanya, membina kepercayaan adalah cabaran yang paling penting untuk dirinya untuk terus berdiri dalam bidang bisnes perkhidmatan.

"Antara cabarannya adalah untuk mendapat kepercayaan daripada pelanggan yang hadir, kalau berjaya, ertinya akan dapat pelanggan setia.

"Sebagai pendatang baru dalam dunia rawatan akupanktur, saya bukan ada nama dalam perniagaan ini.

"Nak membina kepercayaan ini memang mencabar, bukan mudah untuk pelanggan 'menyerah diri' untuk dirawat oleh kita," jelas Lynn lagi.

Kepuasan
"Macam-macam bisnes telah saya buat, tetapi inilah 'tapak' yang memberi pulangan yang baik," seloroh Lynn.

Katanya, permintaan di D'Lynn agak menggalakkan, khususnya dalam mood mobile ke luar Pulau Pinang, dan beliau sendiri sedang melatih beberapa lagi perawat untuk mengembangkan bisnes pada masa depan.

Kini, Lynn memberitahu bahawa beliau puas dengan bisnes yang diceburinya, kerana dapat membantu pihak berwajib yang lain.

"Merawat orang ini suatu kepuasan kepada saya, selama ini saya sendiri tercari-cari, apakah amalan yang boleh memberi kepuasan kepada saya.

"Apabila pelanggan yang dirawat menunjukkan perubahan (kian sembuh), itu paling memberi kepuasan.

"Kesihatan ini menang tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit, sebab itu, saya sendiri sanggup berikhtiar semampu mungkin untuk rawat mak dahulu," jelas Lynn.