Skip to main content

Tanpa GST pun Pulau Pinang 'untung' 2014, Guan Eng respons pengubahsuaian Bajet 2016

KETUA Menteri (kiri) bersama-sama Setiausaha Politiknya, Wong Hon Wai pada satu sidang media, dulu.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Mengekalkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 6 peratus dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang dibentangkan pada hari ini, didakwa untuk 'menyelamatkan' tadbir urus kewangan Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.

Tanpa hasil GST, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu kedudukan kewangan Kerajaan Pulau Pinang pada tahun 2014 masih mencatatkan keuntungan tertinggi dalam tempoh empat tahun ini.

"Sungguhpun tanpa GST, kita (Kerajaan Negeri) masih mempunyai lebihan (surplas) tiap-tiap tahun.

"GST bukanlah 'menyelamat' ekonomi Malaysia, GST 'menyelamat' Kerajaan daripada bankrap mungkin lah, tetapi ia (GST) amat memudaratkan kehidupan rakyat Malaysia dan ekonomi.

"Semata-mata untuk menyelamatkan Kerajaan BN (Pusat) yang salah tadbir urus ekonomi, itulah sebabnya mereka kenakan (melaksanakan) GST," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di Komtar di sini, petang tadi.

Baginya, Kerajaan Pusat sepatutnya berhenti mencipta dalih kononnya hasil GST diperlukan demi membayar gaji kakitangan awam serta melaksanakan program kebajikan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), melalui pengubahsuaian Bajet 2016 ini.

Pada sidang media itu, beliau turut mendedahkan Penyata Kewangan 2014 Negeri Pulau Pinang, yang direkodkan dalam Laporan Ketua Audit Negara sendiri.

Laporan itu, katanya, antara lain menyebut, "Analisis Audit mendapati kedudukan Kumpulanwang Disatukan pada tahun 2014 adalah yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Penyata Kewangan itu merekodkan, jumlah Kumpulanwang Disatukan pada tahun 2010, 2011, 2012, 2013 dan 2014 masing-masing berjumlah RM1,131.18 juta, RM1,133.74 juta, RM1,192.25 juta, RM1,292.10 juta dan RM1,456.03 juta.

Justeru, Guan Eng melahirkan rasa kesal kerana pengubahsuaian Bajet 2016 mengekalkan pelaksanaan GST, yang nyata membebankan semua lapisan rakyat terbanyak di tanah air ini.

GST mula dikuatkuasakan oleh pentadbiran Najib sejak 1 April tahun lalu.

Hujung tahun lalu, kutipan bersih GST diunjurkan berjumlah RM27.126 bilion, daripada hasil kasar sebanyak RM37.67 bilion.

Manakala dalam Bajet 2016 terdahulu, hasil bersih GST bagi tahun ini dianggarkan meningkat kepada RM39 bilion.

SALINAN Penyata Kewangan Negeri Pulau Pinang 2014 dalam Laporan Ketua Audit Negara.