Skip to main content

Pengasingan sisa di punca akan jadi salah satu KPI JKKK, umum Guan Eng

KETUA Menteri serta para pemimpin Kerajaan Negeri merakamkan gambar kenang-kenangan dengan pelajar-pelajar Tadika Changkat, selepas Majlis Pelancaran Projek Perintis Pertama Dasar 'Segregation at Source' di Kampung Changkat di sini, petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

JAWI - Kejayaan melaksanakan amalan pengasingan sisa di punca akan menjadi salah satu aras penanda utama (KPI) dalam pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) pada masa hadapan. 

Ketua Menteri,  Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Perintis Pertama Dasar 'Segregation at Source' di Kampung Changkat di sini, petang ini.

"Kita (Kerajaan Negeri) mahu menjadikan Pulau Pinang negeri yang paling bersih di Malaysia.

"Kita mulakan pendekatan pendidikan,  sebelum penguatkuasaan dasar pengasingan sisa di punca,  mulai 1 Jun depan. 

"Salah satu daripada KPI bagi JKKK mesti berjaya melakukan pengasingan sisa di punca, untuk dilantik semula akan datang," jelas Guan Eng di Dewan JKKK Kampung Changkat.

LIM Guen Eng diiringi Chow Kon Yeow serta pemimpin Kerajaan Negeri yang lain pada Majlis Perasmian Operasi Pusat Sumber Alam Sekitar Changkat di sini.
SOON Lip Chee  (paling kiri) menunjukkan hasil pengumpulan barang yang boleh dikitar semula oleh komuniti setempat, kepada Ketua Menteri di sini.
Sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, terdapat lapan kategori punca kutipan sisa telahpun dikenal pasti, iaitu rumah kampung, rumah taman, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bertingkat, kondominium, kilang, outlet makanan/hotel, pusat membeli-belah dan kompleks kerajaan.

"Setiap satu punca kutipan sisa ini mempunyai ciri-ciri tersendiri, maka mekanisme kutipan diatur khas untuk setiap satu," jelas Kon Yeow.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Ang Aing Thye dan Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Jawi, Azmi Samsudin turut sertai majlis itu.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan kior oleh pelajar-pelajar Tadika Changkat.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut merasmikan pembukaan operasi Pusat Sumber Alam Sekitar di sini.