Skip to main content

Lim Yin Xuang kematian terbaru akibat denggi di Pulau Pinang, kes kedua tahun ini

WARIS mendiang Lim Yin Xuang (paling kiri) menerima sumbangan daripada Ketua Menteri (dua dari kiri), sambil disaksikan oleh Dr. Afif Bahardin dan Chong Eng di sini, lewat petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

BERAPIT - Kematian Lim Yin Xuang, 28, akibat denggi adalah kes kedua dalam 18 hari pertama pada tahun ini. 

Dalam nada sedih, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merayu kepada rakyat supaya segera mendapatkan rawatan lanjut, apabila demam.

"Tahun lepas (2015) ada 19 kematian akibat denggi, manakala tahun 2014 ada 12 (kes), tetapi dalam 18 hari pertama tahun ini sudah ada dua rekod kematian akibat gigitan nyamuk Aedes.

"Janganlah lebih ramai mati akibat denggi, jaga kebersihan dan hapuskan kawasan pembiakan nyamuk Aedes serta segara jumpa doktor apabila demam.

"Mungkin sayalah seorang Ketua Menteri yang masih melawat keluarga mangsa, tetapi yang lebih penting adalah semua perlu waspada dan sedar akan bahaya wabak ini," jelas beliau semasa menziarahi keluarga mendiang di Kampung Berapit di sini, lewat petang tadi.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) turut sertai majlis ziarah itu.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah, Dr. Rafidah Md. Noor dan Pegawai Kawalan Penyakit Pusat Kesihatan Daerah, Dr. Mohd. Azfar Zainuddin.

Difahamkan, kes terbaru ini sebenarnya berlaku di rumah mendiang dekat Machang Bubuk.

Sambil merakamkan takziah daripada Kerajaan Negeri, Guan Eng menyampaikan sumbangan RM500 kepada ayah mendiang.