08 January 2016

Guan Eng puji MPSP catat surplas tiga tahun berturut-turut sehingga 2014

KETUA Menteri dan para Exco Kerajaan Negeri merakamkan gambar kenang-kenangan dengan barisan Ahli Majlis MPSP 2016 di sini,  pagi tadi. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

SEBERANG JAYA - Selepas tujuh tahun mengalami defisit sebelum 2008, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM4.15 juta pada tahun 2012, RM2.74 juta untuk tahun 2013 dan RM0.17 juta untuk tahun 2014.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, tadbir urus berdasarkan Belanjawan Berasaskan Hasil (OBB) dalam tadbir urus kewangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan diharap mampu mengekalkan rekod surplas pada masa hadapan.

"Daripada membina tiang bendera paling tinggi di dunia dengan RM1 juta, lebih baik membelanjakan peruntukan itu untuk membina jalan raya.

"Yang dimaksudkan dengan 'Outcome-Based Budgeting' di sini adalah membelanjakan dana pada suatu projek yang lebih memberi impak kepada rakyat," jelas Guan Eng pada Majlis Angkat Sumpah Dan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPSP 2016 di sini, pagi tadi.

Majlis yang dilangsungkan di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini turut disertai oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Dato' Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis MPSP).

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri menyertai majlis tersebut.

Mengulas mengenai OBB, Guan Eng memberitahu MPSP sanggup mengambil alih 100 peratus pengurusan pembersihan sisa pepejal pada tahun 2015 sungguhpun terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi, kerana langkah itu akan memberi peluang kerja awam kontrak kepada warganegara sahaja.

"Berbanding tahun 2011, memang kita terpaksa menanggung kos lebih 50 peratus apabila mengambil alih 100 peratus pengurusan sisa pepejal, tetapi itu lebih memberi impak kerana semua pekerja am kontrak adalah warganegara, bukan lagi buruh asing.

"Inilah yang dimaksudkan dengan 'Outcame-Based Budgeting' iaitu perbelanjaan yang kita (MPSP) buat turut memberi manfaat kepada warganegara, bukan lagi pekerja-pekerja asing daripada syarikat swasta yang dilantik oleh MPSP," jelas Guan Eng.

Sumber: MPSP
Direkodkan, kos pembersihan 2011 termasuk dengan pengambilan buruh asing secara kontrak keseluruhannya sebanyak RM48,668,435.

Selepas MPSP mengambil alih 100 pengurusan sisa pepejal dengan 100 peratus pekerja am kontrak bertaraf warganegara, kos meningkat sebanyak 54.5 peratus atau kira-kira RM26,546,363 menjadi keseluruhannya berjumlah RM75,214,797.

Sebelum itu Maimunah mendedahkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi projek pembangunan hartanah yang diluluskan oleh MPSP pada tahun 2012 berjumlah RM2,512,956,400, diikuti RM1,669,385,182 (2013) dan RM483,880,000 (2014).

"Bagi tempoh Januari hingga November 2015 pula, GDV yang dihasilkan berjumlah RM826,300,000," tambah Maimunah.

Di bawah Kerajaan Negeri era Barisan Nasional sebelum tahun 2008 dahulu, MPSP mencatatkan defisit selama tujuh tahun berturut-turut, kira-kira RM230 juta.

Dr. Amar Pritpal Abdullah, 57, yang baru dilantik menjadi Ahli Majlis semasa ditemui kemudian memberitahu pihaknya akan memberi fokus pada '9 Fokus MPSP 2016'.

"Fokus saya, kebersihan dan mengadakan aktiviti rakyat, termasuk menyediakan kemudahan sukan," kata beliau yang juga doktor perubatan di sebuah klinik swasta di Sungai Bakap.

Seorang lagi Ahli Majlis baharu, Ong Jing Cheng, 32, memberitahu beliau akan bekerjasama dengan agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dalam memperkuasakan upaya komuniti.

"Saya akan meneruskkan projek-projek yang telahpun dijalankan oleh Kerajaan Negeri seperti Belanjawan Bertanggungjawab Gender (GRB) di Flat Ampang Jajar umpamanya.

"Di sini, saya akan teruskan agenda memperkuasakan rakyat dalam menentukan keutamaan belanjawan peringkat PBT seperti sebelum ini," jelas beliau yang juga bekas pemimpin mahasiswa.

Berikut adalah Senarai Ahli Majlis MPSP Sesi Tahun 2016 yang dimasyhurkan pada pagi tadi:

1. Mohd. Shaiphol Is mail (DAP)

2. Zulkifli Ibrahim (PKR)

3. Muhamad Suzuki Ahmad (Amanah)

4. Ahmad Tarmizi Abdullah (NGO)

5. P. David Marshall (DAP)

6. H'ng Mooi Lye (DAP)

7. Mohd. Sharmizan Mohamad Noor (PKR)

8. M. Satees (DAP)

9. Siti Nur Shazreen Mohd. Jilani (DAP)

10. Tan Chee Teong (DAP)

11. Micheal Tan Cheng Henh (DAP)

12. Tan Chong Hee (DAP)

13. Dr. Tiun Ling Ta (NGO)

14. Wong Chee Keet (NGO)

15. Zaini Awang (PKR)

16. Alias Wan Chek (PKR)

17. Amar Pritpal Abdullah (PKR)

18. Anuar Yusoff (PKR)

19. Goh Choon Aik (PKR)

20. Heng Yeh Shiuan (DAP)

21. K. Kumar (DAP)

22. Ong Jing Cheng (PKR)

23. Shuhada Abdul Rahim (PKR)

24. Zulkiply Ishak (Amanah)

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus