Skip to main content

Guan Eng harap Najib Razak segera lulus bajet tangani banjir RM997 juta untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang

LIM Guan Eng (kiri) bersama-sama Setiausaha Politiknya, Wong Hon Wai mempamerkan dokumen RMK-11 yang didakwa "menganaktirikan rakyat Malaysia di Pulau Pinang", pada sidang media di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diharap segera meluluskan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) berjumlah RM997juta untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam suratnya kepada Najib pada 23 Disember lalu memberitahu, jumlah peruntukan itu berdasarkan permohonan yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang.

"Permohonan kelulusan peruntukan ini berjumlah RM997 juta berbanding permohonan sebelum ini berjumlah RM805 juta.

"Pindaan permohonan peruntukan ini adalah berpandukan kepada beberapa pertambahan skop di bawah RTB Lembangan Sungai Pinang dengan mengambilkira kos bagi perobohan struktur sedia ada, pembinaan sistem pemantauan banjir, menaiktaraf terowong air di cabang Sungai Pinang dan pengindahan koridor sungai," jelas Guan Eng yang juga Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Lagipun katanya, Kerajaan Negeri telahpun berjaya menyelesaikan isu penempatan semula penduduk yang terlibat dalam projek RTB terdahulu, sebagaimana dinyatakan dalam RMK-10.

Justeru, katanya lagi, langkah Kerajaan Pusat mempercepat kelulusan peruntukan RTB sebagaimana dinyatakan dalam RMK-11 sekaligus akan membawa faedah kepada penduduk di negeri ini.

"Kerajaan Negeri menghargai keprihatinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri di atas kejadian banjir kilat semasa sambutan Hari Raya Haji dan berjanji akan memberikan bantuan.

"Adalah diharapkan bantuan RM997 juta boleh memenuhi hasrat keprihatinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri untuk mengatasi masalah banjir kilat di Pulau Pinang," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Dalam perkembangan berkaitan, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo bersama-sama penduduk setempat baru-baru ini melancarkan demontrasi aman menuntut Kerajaan Pusat meluluskan sekurang-kurangnya RM450 juta untuk projek mengurangkan risiko bencana banjir di sekitar Sungai Pinang.

Semasa itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkenaan mendedahkan, Kerajaan Pusat melalui RMK-11 sepatutnya meluluskan peruntukan sebanyak RM805.4 juta untuk melaksanakan tujuh projek Rancangan Pemuliharaan Sungai (ROL) dan RTB.

Selain projek di Sungai Pinang, enam projek lain adalah di Sungai Juru yang menelan belanja RM80 juta, Sungai Jawi (RM40 juta), Sungai Perai RM35 juta), RTB Bayan Lepas (RM153 juta), RTB Sungai Perai (RM35.4 juta) dan RTB Sungai Kechil (RM12 juta).