Skip to main content

Demi rakyat, Exco alu-alukan projek rumah PR1MA ke Pulau Pinang

JAGDEEP Singh Deo

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri mengalu-alukan dua permohonan Kerajaan Pusat untuk membina rumah mampu milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (P1MA) di Pulau Pinang baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu dua permohonan itu sebenarnya adalah susulan pada mesyuarat beliau dengan pegawai Perbadanan PRIMA Malaysia pada bulan Ogos tahun lalu.

"Kami menerima permohonan pada Disember tahun lalu bagi dua projek perumahan mampu milik di bawah PR1MA di Batu Ferringhi dan Bukit Gelugor, dengan sejumlah 2,644 unit," kata Jagdeep pada Sidang Kemuncak Hartanah Pulau Pinang 2016 di Subterranian Penang International Conference & Excibition (sPICE) di sini, 8 Januari lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, kedua-dua projek tersebut masih perlu mematuhi syarat-syarat teknikal berwajib, yang digariskan oleh Kerajaan Negeri serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

"Kami sedang menunggu pelan cadangan daripada PR1MA bagi kedu-dua projek ini dan permohonan mereka itu akan dipertimbang kelulusannya, jika memenuhi syarat-syarat pemajuan rumah mampu milik yang telahpun ditetapkan," jelas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memberitahu, terdapat 12 projek perumahan yang terdiri oleh 22,512 unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik sedang dan akan dibina di kelima-lima daerah di negeri ini.

Jelasnya lagi, fasa pertama pemajuan projek Bandar Cassia di daerah Seberang Perai Selatan, dengan sejumlah 520 unit rumah mampu milik dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

(Dari kiri, depan) ROSLI Jaafar, Ketua Menteri, Jagdeep Singh Deo dan Ong Ban Seng di gerai pameran PDC di sini baru-baru ini.

Serentak dengan pameran hartanah selama tiga hari, persidangan tahunan kali yang kedua baru-baru ini dirasmikan oleh Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap ADUN Pantai Jerejak, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Dato' Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) dan Dato' Dato' Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC).

Pemaju Ideal Properties, Dato' Alex Ooi, Dato' Toh Chin Leong (Pengurus Besar Kanan IJM Land), Micheal Geh (Sr Partner of Rain & Home International), Dato' Finn Choong Khuat Seng (Convenor Jawatankuasa Pengurusan Pembangunan Hartanah dan Pembinaan bagi Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang), Dr. Noraini Abdullah (Pengarah Urusan Asia Global Business Sdn. Bhd.), Tengku Dato' Idaura Ibrahim (bekas Timbalan Pengurus Besar PDC) dan Dato' Ong Weng Soon (Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang) dan Ong Ban Seng (Pengarah Penganjur Persidangan) antara tokoh yang hadir pada persidangan kali ini.

Sidang Kemuncak Hartanah Pulau Pinang 2016 yang melibatkan Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) merupakan antara usahasama Kerajaan Negeri untuk menangani cabaran semasa berkaitan pembangunan hartanah serta kepentingannya untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang.