Skip to main content

Restoran dalam kapal mewah Costa Victoria dapat Sijil Halal

ANDREA Bardi (tengah) menunjukkan pensijilan Halal Malaysia yang diterima bagi restoran Pizzeria La Tavernette di atas Kapal Persiaran Costa Victoria baru-baru ini. 

GEORGE TOWN – Restoran Pizzeria La Tavernetter di atas sebuah kapal berkonsepkan Itali yang dikenali sebagai Costa Victoria turut mendapat pensijilan Halal Malaysia baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim memberitahu, sebelum ini kapal mewah Star Cruises turut menerima pensijilan Halal Malaysia pada tahun 2013.

Justeru katanya, pensijilan tersebut menyumbang pada perkembangan industri pelancongan, khususnya dalam sektor pelayaran.

“Usaha ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi percutian mesra muslim dan sebuah pusat halal global.

“Permintaan terhadap pensijilan halal dalam sektor makanan telahpun meningkat dengan ketara bukan sahaja melibatkan restoran-restoran makanan di daratan, sebaliknya juga di atas kapal persiaran.

“Malah, ia mampu menarik lebih ramai penumpang muslim tempatan dan antarabangsa di dalam sektor pelayaran,” ujar Abdul Malik yang juga Pengerusi Penang International Halal Hub (PIHH).

RUPA bentuk dalaman Restoran Pizzeria La Tavernetta yang menerima pengiktirafan pensijilan Halal Malaysia.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Pensijilan Halal Malaysia kepada Restoran Pizzeria La Tavernetta di atas kapal persiaran Costa Victoria di sini baru-baru ini. 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan tetamu kehormat, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nazri Aziz turut berucap pada majlis itu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang, Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjong) dan Andrea Bardi (Kapten Costa Victoria).

Abdul Malik memberitahu, inisiatif mempromosi Halal Penang sendiri meningkatkan bilangan premis halal berdaftar sebanyak 816 buah, sehingga suku ketiga tahun ini.

Manakala, Nazri dalam ucapannya memberitahu pensijilan halal yang digalakkan di negeri ini sekaligus akan menggamit lebih ramai pelancong Islam domestik serta antarabangsa ke tanah air.

“Untuk tujuan itu, Pulau Pinang telah mendahului ke arah pembangunan ini bagi melengkapkan dan menambah statusnya yang terkenal bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan terkenal di dalam negara, tetapi juga di rantau ini,” ujarnya.