Skip to main content

PR1MA gagal di Pulau Pinang – Exco Perumahan

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan keratan akhbar The Sun Biz bertarikh 15 Dismember berjudul 'PR1MA a total failure, says property expert', pada sidang media di Komtar, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) didakwa gagal menunaikan janji menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang, berbanding usaha berterusan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri hari ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian semasa mengulas mengenai laporan berita 'PR1MA a total failure, says property expert' dalam akhbar The Sun Biz bertarikh 15 Disember lalu.

"Ini perkara yang penting apabila pemain industri perumahan sendiri yang mendakwa PR1MA secara keseluruhannya gagal.

"Saya menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memberikan kepada Pulau Pinang senarai pemohon sebenar unit rumah yang ada pada mereka (PR1MA)," tegas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat di sini, semalam.

Lagi pun katanya, sebanyak 4,355 unit rumah kos rendah (KR) dan 769 unit rumah kos rendah (KR) sahaja dibina oleh Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dulu di Pulau Pinang dalam tempoh sama bagi tahun 2000 hingga 2007.

Sedangkan katanya lagi, sebanyak 8,092 unit KR dan 8,107 unit KSR dibina di Pulau Pinang pada era Kerajaan Negeri hari ini, dalam tempoh 2008 hingga 2015.

"Di samping itu, dalam tempoh 2008 hingga 2015 sebanyak 3,796 unit KR dan 5,246 KSR telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang untuk pembinaan.

"Janji-janji kosong ini menunjukkan kegagalan Kerajaan Persekutuan, berbanding semasa pentadbiran Pakatan Harapan hari ini yang turut merancang pemajuan 12 projek, yang akan memperlihatkan sebanyak 22,512 unit, terdiri oleh 787 unit KR, 7,874 unit KSR dan 13,851 rumah mampu milik (MM) akan disediakan untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang pada masa hadapan," jelas Jagdeep lagi.

Tambah beliau, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga kini dilihat masih memungkiri janji untuk membina unit PR1MA di negeri ini.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, pentadbiran Najib berjanji untuk membina 9,999 unit rumah mampu milik di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam, iaitu kawasan yang diwakili oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri.

Pentadbiran Najib turut berjanji untuk membina 2,100 unit PR1MA di Bukit Gelugor dan 9,564 unit lain di Balik Pulau Pinang, laporan akhbar The Star 26 Oktober 2014.

"Ini diburukkan lagi apabila mesyuarat Majlis Perumahan Negara pada 21 Ogos 2015, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri, telah mengumumkan sebanyak 153,807 unit rumah mampu milik diluluskan oleh Perbadanan PR1MA sehingga bulan Julai 2015, dan Pulau Pinang dikatakan telah menerima jumlah peruntukan rumah mampu milik PR1MA tertinggi, iaitu sebanyak 24,923 unit," jelasnya.

The Star antara lain melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif REI International Holding Sdn. Bhd., Dr. Daniele Gambero mendakwa PR1MA keseluruhannya gagal kerana gagal menyalurkan unit rumah ke kawasan-kawasan yang sepatutnya.

"Kerajaan, pemaju dan pasaran sebenar tidak gembira dengan perkara ini," jelas Dr. Daniele Gambero dalam Property Guru Outlook Forum 2016 pada 14 Disember lalu.

Pengarah Urusan Armani Media Sdn. Bhd., K. K. Chua pula dilaporkan membangkitkan mengenai PR1MA hanya meluluskan 10 peratus sahaja daripada 500,000 unit PR1MA yang dijanjikan sehingga kini.

"Sasaran PR1MA adalah 500,000 rumah menjelang tahun 2020 dan 72 projek telahpun diluluskan, hanya 50,000 unit disalurkan, menyamai 10 peratus sahaja sasaran asal.

"Daripada 500,000 unit yang diluluskan, langsung tidak disalurkan dan kami tidak tahu bilakah mereka (PR1MA) akan disalurkan," jelas K. K. Chua, dipetik daripada akhbar berbahasa Inggeris berkenaan.