Skip to main content

Kaji selidik Bajet 2017 lebih awal, mula Januari depan - YDP MPSP

MAIMUNAH Mohd. Sharif (tengah) merakamkan gambar dengan Ketua-Ketua Jabatan serta para Ahli Majlis MPSP Sesi 2015 di sini, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan melaksanakan tinjauan atas talian serta mengedarkan borang soal silidik awam bagi Bajet 2017 lebih awal, mulai 1 Januari hingga 28 Februari.

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif berkata, amalan gender responsive participatory budgeting (GRPB) itu demi 'memenuhi keperluan yang berbeza daripada kumpulan yang berbeza.'

"Kita (MPSP) akan mula soal selidik untuk Bajet 2017 lebih awal, kalau dahulunya kita buat pada bulan April atau Mei.

"Ini, untuk membolehkan kita (MPSP) menyelidik serta membuat analisa lebih terperinci," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas mempengerusi Majlis Mesyuarat Penuh Ke-498 Bil. (12/2015) dekat Kompleks Ibupejabat MPSP di sini, pagi tadi.

Maimunah turut mengumumkan MPSP dengan kerjasama pemaju Ideal Property Group dan Kelab Berbasikal G akan menganjurkan Ideal Propertu Tristate 160 Fellowship Ride pada 10 Januari 2016 mulai jam 6.30 pagi hingga 1.00 petang dari Auto Citi dekat Juru.

Katanya, acara kayuhan basikal sejauh 160 kilometer itu merentasi tiga negeri, iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Sebelum itu, Maimunah bersama-sama ketua-ketua jabatan merakamkan gambar kenang-kenangan dengan para Ahli Majlis MPSP di sini.

"Saya pun masih belum ada nama Ahli Majlis yang baru (bagi tahun 2016), tetapi majlis angkat sumpah Ahli Majlis yang baru pada 8 Januari, yang akan dihadiri oleh YAB Ketua Menteri (Tuan Lim Guan Eng) dan YB Chow (Kon Yeow, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir)," jelas Maimunah menjawab soalan wartawan.