Skip to main content

Guan Eng gesa Pusat perbesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa P.Pinang, penumpang hampir cecah maksimum 6.6 juta orang

LIM Guan Eng (kiri) bersama-sama Setiausaha Politiknya, Wong Hon Wai mempamerkan dokumen RMK-11 yang didakwa "menganaktirikan rakyat Malaysia di Pulau Pinang", pada sidang media di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Pusat terus digesa meluluskan peruntukan berwajib untuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), tegas Lim Guan Eng.

Ketua Menteri itu berkata, enam juta penumpang dikendalikan di lapangan terbang tersebut pada tahun 2014, hampir mencecah kapasiti maksimum seramai 6.6 juta setahun.

“Keadaan kritikal Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang(LTAPP) yang penuh sesak, dan dijangka melebihi kapasitinya sebanyak 6.5 juta penumpang.

“Ini adalah sungguh tidak adil kerana membayar RM6.3 bilion setiap tahun dalam bentuk cukai dan duti kastam tetapi hanya dapat pulangan 2 peratus sahaja.

“Harus ditekankan bahawa Pulau Pinang masih sebahagian Malaysia dan tidak patut dianaktirikan dan diabaikan sedemikian,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai Jawapan Bertulis daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai di Parlimen pada 24 November lalu.

Jawapan Bertulis itu antara lain mendedahkan seramai 29.6 juta penumpang dikendalikan di LTAPP sejak 2010 sehingga bulan September 2015.

Jawapan bertulis itu turut menyebut rancangan Kerajaan Pusat untuk membuat kajian pembangunan lapangan terbang baharu di Utara Semenanjung Malaysia dalam tempoh enam bulan, dan dijangka siap pada November ini.

Guan Eng dalam kenyataannya menyimpulkan bahawa jawapan Menteri berkenaan membawa maksud bahawa Kerajaan Pusat sekali lagi menganaktirikan Pulau Pinang.

Beliau bagaimanapun berharap Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan membina bangunan parkir yang terdiri oleh 3,000 lot tambahan, sungguhpun mungkin akan memungkiri janji untuk membina hotel empat bintang berhampiran LTAPP.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut menyifatkan Kerajaan Pusat seakan menganaktirikan Pulau Pinang apabila enggan meluluskan peruntukan RM805.4 juta untuk tujuan menangani bencana banjir kilat di Pulau Pinang.

Pusat, katanya, patut meluluskan RM450 juta untuk kerja-kerja pelebaran dan mendalamkan Sungai Pinang, sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

“Permohonan projek baru rancangan tebatan banjir sebanyak RM805 juta dibuat baru-baru ini, berikutan janji Perdana Menteri akan bantu menyelesaikan masaalah banjir kilat tetapi malangnya ia masih tinggal janji kosong.


“Yang lebih teruk lagi ialah kemungkinan besar Rancangan Tebatan Banjir(RTB) Sungai Pinang sebanyak RM150 juta dibatalkan sungguhpun sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9,” jelas Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.