Skip to main content

Pusat jangan salurkan RM150 juta Bajet 2016 untuk usahawan India melalui parti, gesa Ramasamy

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

JAWI - Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy  berharap peruntukan RM150 juta untuk usahawan India, sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2016 Kerajaan Pusat, tidak disalurkan melalui mana-mana parti politik.

Katanya, langkah itu demi mencegah penyelewengan tadbir urus dana awam, sebagaimana pernah berlaku dalam parti tertentu dalam komponen Barisan Nasional sebelum ini. 

"Zaman dahulu, apabila dana ini disalurkan melalui parti MIC umpamanya, telah dibazirkan.

"Jangan lagi salurkan dana ini melalui mana-mana parti politik supaya dana ini benar-benar sampai kepada usahawan India yang berkelayakan.

"Saya ingin medapat kepastian daripada Kerajaan Pusat, sama ada peruntukan ini benar-benar pergi kepada kaum India atau golongan tertentu sahaja," respons Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai kepada wartawan di sini, semalam.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng serta Exco Kerajaan Negeri lain turut hadir pada sidang media di kediaman peribadi Ramasamy, sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali Timbalan Ketua Menteri II berkenaan.

Difahamkan, Bajet 2016 memperuntukkan RM100 juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) untuk usahawan masyarakat India, selain RM50 juta menerusi SME Bank untuk bantuan usahawan kecil India.

Ramasamy bagaimanapun memberitahu Bajet 2016 itu sekali lagi seakan mengabaikan rakyat Malaysia di Pulau Pinang, termasuk manoriti etnik India.

Ini kerana, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa langsung tidak menyalurkan unit Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ke negeri ini. 

Katanya lagi, Kerajaan Pusat didakwa sengaja enggan meluluskan pemajuan beberapa projek jajaran transit aliran ringan (LRT) dan monorel serta mewujudkan sistem bas alihan cepat (BRT) yang meliputi bahagian Pulau dan tanah besar Seberang Perai.

Tidak cukup dengan ini,  Ramasamy mendakwa, Kerajaan Pusat sehingga kini masih enggan meluluskan peruntukan berwajib untuk pembinaan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil pertama Malaysia di Pulau Pinang, sungguhpun Kerajaan Negeri telahpun menawarkan sebidang tanah di Parlimen Bagan sebelum ini. 

"Bajet ini seolah-olah tiada apa-apa  projek pembangunan untuk rakyat Pulau Pinang, walaupun  kira-kira RM6.3 bilion disumbangkan kepada Kerajaan Pusat setiap tahun, dalam bentuk cukai dan duti kastam dari negeri ini," tegas Ramasamy lagi.