Skip to main content

Guan Eng puji profesionalisme tiga penguatkuasa MBPP depani provokasi

(Dari kiri) ONG Ah Tiong, Zarina Othman, Sabrina Mohd. Sabri, Siti Asa Abu Bakar serta Salehuddin Hashim saling berbual, selepas sidang media dan majlis pemberian insentif di sini, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Profesionalisme tiga penguatkuasa wanita dalam melakukan kerja-kerja kapit tayar bermotor sungguhpun berdepan dengan penghinaan daripada dua lelaki, sebagaimana diviralkan dalam satu klip video berdurasi 2 minit baru-baru ini, wajar menjadi contoh bagi semua kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) lain.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikianm, sebelum menyampaikan insentif berjumlah RM200 seorang kepada Zarina Othman serta dua rakannya Siti Asa Abu Bakar dan Sabrina Mohd. Sabri

“(Mereka) telah menjalankan tugas dengan sungguh profesional dan tidak ambil peduli tentang provokasi-provokasi yang dihadapi semasa mereka menjalankan tugas.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kerana mereka telah menjaga maruah MBPP...kita (Kerajaan Negeri) harap sikap profesional ini yang akan jadi contoh,” jelas Guan Eng di sini, pagi tadi.

Bercakap pada sidang media sama, Datuk Bandar MBPP, Dato' Patahiyah Ismail berkata, pihaknya merakamkan penghargaan atas sokongan dan motivasi yang ditunjukkan oleh Guan Eng kepada “pasukannya”.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri) turut hadir pada majlis pemberian insentif tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Majlis MBPP, Ir. Ang Aing Thye, Ong Ah Tiong (Ahli Majlis MBPP) dan Salehudin Hashim (Pengarah Penguatkuasa MBPP).

Klip video berdurasi dua minit yang diviralkan itu antara lain mendedahkan salah seorang lelaki berkenaan memanggil “anjing” sambil melemparkan duit kompaun salah laku parkir kenderaan kepada salah seorang penguatkuasa MBPP.

Semalam, Ahli Majlis MBPP, Mohamed Yusoff Mohd. Nor mendesak tindakan tegas diambil kepada dua lelaki berkenaan kerana dilihat mengganggu kakitangan kerajaan melaksanakan tugas.

“Sepatutnya jika mana-mana pihak yang disaman tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan, mereka boleh membuat aduan terus kepada MBPP.

“Bukannya berkelakuan biadab dengan mencaci anggota penguat kuasa dan menghina mereka de­ngan mencampakkan wang kompaun seperti dilakukan pemuda berkenaan,” katanya kepada pada sidang media bersama-sama Ah Tiong dan beberapa Ahli Majlis MBPP lain di sini.