26 September 2015

Naik taraf Jalan Negeri Sungai Udang RM400,000

KETUA Menteri Lim Guan Eng menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penarafan Jalan Ban Sungai Udang di sini,  pagi tadi. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

JAWI - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, sebanyak RM400,000 diluluskan untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang menaiktaraf Jalan Ban Sungai Udang sepanjang 1.23 kilometer, daripada kelebaran asal 5.3 meter pada 7 meter.

Katanya, projek tersebut termasuk dalam peruntukan melaksana projek-projek jalan raya bagi tahun 2015 yang keseluruhannya berjumlah RM32.7 juta kerana Kerajaan Negeri komited memantapkan pembangunan infrastruktur bandar dan luar bandar, yang diyakini memangkin pada perkembangan ekonomi rakyat.

"Dalam aspek ekonomi, jalan raya merupakan penyumbang utama kepada peningkatan taraf hidup penduduk setempat samada dari aspek perniagaan, pendidikan, keselamatan dan sosio-ekonomi," jelas Guan Eng pada majlis penarafan jalan tersebut di sini, pagi tadi.

Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkenaan turut memasyhurkan Jalan Ban itu sebagai Jalan Negeri Sungai Udang.  

Exco Kerja Raya,  Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Dato' Maktar Shapee  (Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang), Soon Lee Chee (ADUN Jawi) dan Ir. Salleh Awang (Pengarah JKR Negeri) turut menyertai majlis perasmian tersebut.

Dalam perkembangan  sama, Guan Eng sekali lagi merayu kepada Kerajaan Pusat supaya pelaksanaan 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikecualikan ke atas projek-projek awam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, projek penarafan Jalan Ban umpamanya bukanlah berorientasi keuntungan dan jelas-jelas untuk kepentingan rakyat.

"Mengapa angkat untung (GST) daripada projek Kerajaan Negeri, sedangkan projek ini bukan menjana keuntungan daripada duit Kerajaan Pusat, mahupun poket rakyat sendiri.

"Seperti penarafan dan kerja-kerja pelebaran Jalan Song Ban Kheng sepanjang 3.2 kilometer yang menelan belanja RM20.4 juta, bayangkan berapa yang terpaksa dibayar jika 6 peratus GST dikenakan oleh Kerajaan Pusat sedangkan projek Kerajaan Negeri ini bukan berorientasi perniagaan mahupun  keuntungan," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru, katanya, pelaksanaan GST bukanlah untuk memacu perkembangan ekonomi negeri, tetapi lebih pada membiayai lambakan hutang, seperti skandal 1Malaysia Development Berhad  (1MDB) yang dikatakan mencecah lebih RM42 bilion.

Terdahulu, Hock Seng dan beberapa pegawai JKR dan wakil Pejabat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada bulan Julai tahun lepas membuat tinjauan Jalan Ban Sungai Udang.

Hasil lawatan itu, JKR telahpun membentangkan pelan cadangan penarafan jalan tersebut kepada Kerajaan Negeri, lalu, diluluskan bersama-sama projek-projek jalan raya lain bagi tahun 2015 yang berjumlah RM32.7 juta.

Kerja-kerja penarafan dimulakan pada bulan Mac lalu, termasuk proses mengubah tiang-tiang utiliti milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom.

Projek menaiktaraf Jalan Negeri Sungai Udang tersebut dijadualkan siap sepenuhnya pada bulan Ogos depan. 

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus