Skip to main content

Naik taraf Astaka Kota Selera Padang Kota Lama RM500,000, selepas 37 tahun operasi

SHAHUL Hameed Syed Mohammed (berdiri) menyantuni Ketua Menteri di meja tetamu kehormat utama pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Astaka Selera Kota di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG KOTA - Astaka Kota Selera dekat Padang Kota Lama kini dinaiktaraf selepas kira-kira 37 tahun beroperasi serta menjadi salah satu destinasi pelancongan makanan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Ewein Berhad serta anak syarikatnya, The Esplanade Park Sdn. Bhd. kerana menyumbang RM500,000 di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Sumbangan SCR yang disampaikan oleh Dato' Ewe (Swee Keng, Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Berhad) ini menyerlahkan sokongan sektor korporat pada perubahan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap lebih ramai pihak tampil bersama-sama Kerajaan Negeri melakukan perubahan yang lebih baik untuk keselesaan mutu hidup rakyat di negeri ini,” jelas Guan Eng pada majlis perasmian pembukaan semula astaka makanan tersebut di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam selepas itu turut menyempurnakan majlis menandatangani plak, serta menanam beberapa anak pokok hankerchief tree di perkaraan pintu masuk utama ke astaka tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow turut berucap pada majlis tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan), Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjong), Teh Lai Heng (ADUN Komtar) dan Lim Siew Khim turut antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis itu.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri, Dato' Abu Jamal Nordin, Dato' Patahiyah Ismail (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), Dato' Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli (Pengerusi Zanith Berhad), Woo Choo (Konsulat Jeneral China ke Pulau Pinang) dan Shahul Hameed Syed Mohammed (Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Astaka Kota Selara Padang Kota Lama).

Tarian 'Overtura', iaitu gabungan tarian kebudayaan Melayu, Cina dan India oleh anggota Majlis Kebudayaan Negeri merupakan antara persembahan pentas yang menarik pada majlis tersebut.

Semua tetamu turut disajikan pelbagai juadah terkenal seperti mee sotong, coconut shake dan pasembur.

Astaka Kota Selara dekat Padang Kota Lama selepas penarafan akan dibuka mulai jam 11.00 pagi dan tutup lewat jam 8.00 malam.