Skip to main content

Guan Eng harap GTF, Festival Pinggir Butterworth beri manfaat berganda untuk Seberang Perai

Seorang pengunjung kelihatan asyik menyaksikan koleksi gambar-gambar menarik dalam suatu 'pameran jalanan' di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM - Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng berharap penganjuran Festival Pinggir Butterwoth (BFF) pada 15 dan 16 Ogos lalu di sekitar Jalan Jeti Lama di sini turut akan memberi manfaat berganda pada bahagian Seberang Perai, sungguhpun kebanyakan sub-program Festival George Town selama sebulan dilangsungkan di bahagian pulau.

“GTF atau Butterworth Fringe Festival 2015 diharap dapat dijadikan satu produk yang mempunyai multiplier effect bagi kawasan Butterworth khasnya, dan Seberang Perai secara umumnya.

“Dengan adanya BFF ini, dapat menjadikan Butterworth sebagai satu bandar yang bercorak kreatif dan inovatif,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Pada Majlis Pembukaan BFF 2015 di sini baru-baru ini.

ISAAC Hou (kiri) mempersembah tarian akrobatik unik, disaksikan oleh Ketua Menteri (paling kanan), Maimunah Mohd. Sharif (dua dari kiri) dan Rozali Mohamud (tiga dari kiri) di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif merakamkan penghargaan kepada penganjur Festival George Town 2015, Joe Sidek kerana berjaya membawa kelainan dalam BFF, yang didakwa mampu membantuk aspek pelancongan desa yang giat dipopularkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“(BFF) akan membawa kelainan dari segi konsep persembahan, iaitu 'projek jalanan' yang mana merupakan kesinambungan daripada Festival George Town yang berlangsung di George Town,” jelas beliau.

KETUA Menteri diiringi oleh para pemimpin Kerajaan Negeri lain turut mengambil kesempatan merakamkan gambar kenang-kenangan dengan sebuah model klasik vespa di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Prof. P. Ramasamy, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam), Dato' Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis MPSP) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Tink City Sdn. Bhd., Hamdan Abdul Majeed dan ketua operasinya, Dr. Neil Khor.

'Viva La Vespa', iaitu pameran koleksi motosikal moden dan klasik jenis vespa, tarian akrobatik unik oleh Isaac Hou, persembahan papet 'Bunraku' yang diterbangkan dari Jepun, serta pameran jalanan mengenai perkembangan perbandaran Butterworth lampau antara 15 sub program yang menarik sepanjang dua hari berlangsungnya festival tersebut.

George Town Festival saban tahun diadakan di negeri ini sejak tahun 2010, dengan temasya kebudayaan tempatan dan antarabangsa seumpama Butterworth Fringe Festival 2015 buat julung kalinya diadakan di bahagian Seberang Perai.