11 August 2015

Tahniah MPSP dapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records

(Dari kiri) AMIR Md. Ghazali, Rozali Mohamud, Maimunah Mohd. Sharif, Ketua Menteri dan Loh Joo Huat mempamerkan replika sijil yang diterima daripada Malaysia Book of Records pada majlis di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di tanah air ini yang berjaya mendapat lima pensijilan bagi sistem pengurusan berteraskan kualiti.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah atas kejayaan itu, sekaligus menjadi kebanggaan kepada Kerajaan Negeri.

“Tahniah kepada Dato' Maimunah kerana berjaya membawa MPSP hingga disenaraikan dalam (TheMalaysia Book of Records.

“Ini, membuktikan tindakan Kerajaan Negeri melantik Yang di-Pertua daripada kalangan kakitangan kerajaan yang mampu membuat kerja sebagai Yang di-Pertua bagi MPSP dan MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) walaupun seorang wanita, adalah di landasan yang betul,” ujar Guan Eng pada Majlis Penyerahan Sijil The Malaysian Book of Records di Hotel Ixora di sini baru-baru ini.

Difahamkan, MPSP berjaya mendapat sijil Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2008 (QMS), Sistem Pengurusan Alam Sekitar ISO 140001:2004 (EMS), Sistem Pengurusan Keselamatan Dan Keselamatan Pekerjaan OHSAS 18001:2007, Sistem Pengurusan Tenaga ISO 50001:2011 (EnMS) dan Sistem Pengurusan Persekitaran Berkualiti 5S (QEMS).

MAIMUNAH Mohd. Sharif (tengah) bersama-sama kakitangan daripada Bahagian Pentadbiran MPSP merakamkan gambar dengan replika sijil yang diterima daripada The Malaysia Book of Records pada majlis di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Maimunah dalam ucapannya memberitahu bahawa pengiktirafan kepada MPSP itu sebenarnya berkat oleh kerja secara berpasukan.

“Ini sebenarnya bukan kejayaan seorang Maimunah sahaja, tetapi ini adalah kejayaan bersama semua kakitangan MPSP, serta sokongan tidak berbelah-bahagi daripada Kerajaan Negeri sendiri pada setiap rancangan kita (PBT) untuk meningkatkan mutu pengurusan serta mutu pelanggan,” jelas Maimunah.

Dalam perkembangan lain, Maimunah memberitahu MPSP sedang berusaha mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (SMS ISO 27001:2013).

“Pensijilan kualiti ini juga merupakan satu usaha yang dilihat oleh PBT-PBT yang maju di dunia ini untuk menjalinkan persahabatan dua hala.

“MPSP dapat menjalinkan hubungan di peringkat antarabangsa contohnya dengan Seoul dan kita juga akan menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Yokohama City Council tidak lama lagi,” jelas Maimunah lagi.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta dua Ahli Majlis lain, Loh Joo Huat dan Amir Md. Ghazali turut menyertai sidang media tersebut.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus