Skip to main content

Pesta Durian beralih arah dari Balik Pulau, baka Ochee paling istimewa di Nibong Tebal

CHOW Kon Yeow (tengah) bersama-sama Soon Lip Chee (kanan) dan seorang pemilik dusun durian menunjukkan baka durian Ochee di sini baru-baru ini. | Foto: FB Soon Lip Chee

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI – Festival durian yang saban tahun diadakan di Parlimen Balik Pulau dalam Daerah Barat Daya pada musim baru-baru ini beralih arah ke Nibong Tebal.

Bertempat di tanah lapang bersebelahan stesen minyak Shell Bukit Minyak dekat Jalan Nibong Tebal di sini, macam-macam jenis durian popular boleh didapati dek pengunjung seawal jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam pada hari tersebut.

Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang memberitahu bahawa Pulau Pinang, khususnya sejak lima tahun lepas senantiasa dikunjungi pelancong daripada dalam negara mahupun luar negara apabila tiba musim durian.

“Anjung Indah (dekat Balik Pulau) akan menjadi tumpuan pelancong tiap-tiap tahun kerana pemandu pelancong akan membawa mereka ke sana untuk menikmati baka popular lain seperti Raja Musang, Ang Hae, Hor Lor, Kun Poh, 101, 600, 604, 14/19, 11, D24, 144 dan Durian Kampung.

“(Baka) Ochee atau Durian Duri Hitam yang biasa didapati di Balik Pulau, kini turut boleh didapati di Jawi.

“Jumlah pengunjung kian meningkat tiap-tiap tahun dan pada pesta durian kali ini, Pulau Pinang dikunjungi lebih 2,000 pelancong dari Hong Kong sahaja untuk menikmati durian tempatan kita,” jelas Heng Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Difahamkan, Ochee pernah dipilih sebagai baka durian paling enak bagi tahun 2003 dan 2014, yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Dan, di Jawi kini terdapat kira-kira 600 pokok di sebuah dusun dekat Sungai Baong dalam Parlimen Nibong Tebal, dikatakan lebih banyak berbanding di Parlimen Balik Pulau.

“Lebih kurang 5,000 Ochee Boss dari Nibong Tebal ada pada musim kali ini,” jelas Leow Cheok Kiang, 55, pengusaha kebun durian di Sungai Baong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee dalam kenyataannya berharap Seberang Perai Selatan khususnya Jawi boleh terus menjadi destinasi pelancongan makanan, dengan penganjuran Pesta Durian Peringkat Negeri pada saban tahun kelak.

Ochee adalah antara baka popular yang ditonjolkan pada Pesta Durian anjuran Pejabat KADUN Jawi dengan Jawatankuasa Pelancongan Negeri, kerana kita mahu program ini terus menjadi produk pelancongan (makanan) di sini,” jelas Lip Chee.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada pesta tersebut.