Skip to main content

PasMa & "As-Sofwah Al-Mukhtarah"

AS-SOFWAH AL-MUKHTARAH*

Tiap-tiap mata rantai agama Allah di jalan dakwah sekarang ini perlu memahami bahawa gantian daripada satu generasi kepemimpinan dengan satu generasi kepemimpinan yang lain adalah suatu sunnatuLlah.

Justeru, para ahli PasMa sendiri perlu berikhtiar dan berdoa supaya kepemimpinannya itu ke arah mempersiapkan "golongan terpilih" (As-Sofwah Al-Mukhtarah).

Murabbi kita, Ustaz Yahya Othmans rohimakumuLlah semasa dalam hayatnya membina As-Sofwah Al-Mukhtarah melalui wadah dakwah PAS dahulu secara jelas menasihatkan generasi yang ada ini.

Murabbi kita ini menasihatkan bahawa keperluan individu yang mempunyai sifat-sifat dan kebolehan yang khusus amat diperlukan dalam memimpin dan mengendalikan setiap perjuangan, baik perjuangan Islam mahu pun perjuangan bukan Islam.

Katanya Murabbi kita lagi, jika perjuangan bukan Islam sangat menitik beratkan pembinaan individu dan kelompok khusus yang mempunyai cirri-ciri khusus, bahkan dilengkapkan mereka dengan pelbagai kebolehan, sudah tentu sebagai perjuangan Islam yang begitu diredhai Allah juga amat memberi penekanan kepada pemilihan dan pembinaan individu dan kelompok yang akan mengendalikan urusan agama dan umat ini.

“Mana-mana perjuangan, baik Islam mahu pun bukan Islam mestilah dikendalikan oleh orang-orang yang tertentu yang mempunyai sifat-sifat dan kebolehan yang tertentu yakni luar biasa," jelas Murabbi kita lagi.

Berkata Ustaz Muhammad Hussain, iaitu Pengasas Madrasah Yahya Othman (MAYO) selepas kematian Murabbi kita itu, sifat As-Sofwah Al-Mukhtarah ini lebih jelas sebagaimana disebut dalam ayat 54 hingga 56 daripada Surah Al-Maidah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya." [54]

"Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)." [55]

"Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang." [56]

Menurut Ustaz Muhammad Hussain lagi, As-Sofwah Al-Mukhtarah ini mestilah memenuhi ciri-ciri yang disebut dalam ketiga-tiga ayat di atas, iaitu "sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang."

Berkata dua Murabbi kita, Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Muhammad Hussain lagi, generasi yang mempunyai kemampuan yang istimewa dan luar biasa sahaja mampu memimpin gerakan baru ini.

Dalam usaha PasMa menyediakan As-Sofwah Al-Mukhtarah ke arah membina wadah "Harapan Baru", yang dikepalai oleh generasi terdahulu PAS dengan berpengalaman luas serta teruji dalam medan masing-masing sebelum ini, tidak dapat tidak mengingatkan kita pada suatu nasihat daripada bekas Presiden PAS Dato' Fadzil Mohd. Noor rohimakumuLlah.

"Anjuran memberikan tanggungjawab dan kedudukan berdasarkan sistem nilai (serta prinsip) as-aslahiyah  atau kelayakan adalah termaktub dalam sumber hukum yakni al-Quran sendiri di mana persoalan keadilan dan meritokrasi disebut serentak bagi menegaskan kedudukan perkara tersebut.

"Firmanullah SWT An-Nisa ayat 58 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat," kata Fadzil Mohd. Noor semasa menyampaikan ucaptama berjudul 'Memantapkan Iltizam Menyemarakkan Kebangkitan', dalam suatu muktamar PAS.

Lantaran itu, As-Sofwah Al-Mukhtarah yang mahu dibina mulai wadah PasMa seterusnya dalam "Harapan Baru" ini tidak dapat tidak mesti memenuhi beberapa kelayakan peribadi, sebagaimana digariskan oleh Sheikh Abul A’la Al-Maududi  dalam bukunya Prasyarat Kejayaan Harakah Islamiah, iaitu:

i.Mempunyai kefahaman Islam yang sebenar

ii.Memiliki keimanan yang teguh terhadap Islam.

iii.Watak Peribadi (Sahsiah Fardiah)

iv.Mengambil Islam sebagai tujuan dan matlamat hidup.

Seterusnya, Sheikh Abul A’la Maududi tidak terhenti setakat itu sahaja dalam menyatakan kelayakan peribadi yang terlibat dalam jalan ini.

Tetapi, Sheikh kita ini turut menyenaraikan kelayakan-kelayakan yang sempurna serta yang sepatutnya ada kepada pendokong harakah Islamiah demi memenuhi maksud "sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang." [Al-Quran, 5:56], antaranya:

i.Hubungan dengan Allah dan keikhlasan hati.

ii. Mengingati hari akhirat.

iii.Budi pekerti yang mulia.

iv.Ketabahan dan tetap pendirian.

v. Bijaksana.

Demi melahirkan As-Sofwah Al-Mukhtarah ini juga, eloklah diambil nasihat daripada Mursyid terdahulu kita.

Pengasas Ikhwan Al-Muslimun, Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna yang menggariskan 10 kriteria yang tidak dapat tidak mesti disebatikan dalam tiap-tiap mata rantai agama Allah di seluruh dunia, termasuk dalam wadah PasMa di Malaysia ini.

MUWASOFAT TARBIYYAH ISLAMIYYAH
kretaria tarbiah Islam

1. Iman yang sejahtera (Salimu Al-'Aqidah)

2. Ibadah yang betul (Sohihul Al-Ibadah)

3. Akhlak yang sempurna (matinu al-khuluq)

4. Mampu berdikari (qadirun 'ala al-kasbi)

5. Berpengetahuan luas (muthaqafu al-fikri)

6. Tubuh yang cergas (qawiyu al-jismi)

7. Mampu.menguasai diri (mujahatu lil nafsi)

8. Teratur urusannya (munazdhomun fi syu'unihi)

9. Sangat menghargai masa (harisun 'ala waqthihi)

10. Bermanfaat kepada orang lain (nafi'un li ghoirihi)

Firman Allah S.A.W bermaksud:

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim..." [Surah Al-Hajj: 78]

Wallahu 'alam.

_____________________
*Proposal As-Sofwah Al-Mukhtarah ini disediakan oleh al-faqir Zainulfaqar Yaacob (Setiausaha Akhbar kepada Presiden PasMa merangkap Naib Pengerusi II Negeri) untuk dibentangkan dalam Kolokium PasMa 13 Parlimen Pulau Pinang di The Light Hotel Seberang Jaya pada 7 Julai 2013 jam 2.00 petang.

Proposal ini sebagai lanjutan pada arahan Presiden PasMa Dato' Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi agar NGO ini segera membantu G18 membina wadah "Harapan Baru" yang disasarkan selepas Hari Raya Aidilfitri. In sha Allah.