Skip to main content

Hijrah kepada Harapan Baru, jika tinggalkan Pas...


Saya ada terbaca mengenai kenyataan terbaru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Respons saya begini, "semoga orang-orang yang baik dalam PAS diberikan kekuatan atau berhijrah menyertai Gerakan #HarapanBaru jika tak mampu lagi melaksanakan amal Islami dalam parti itu lagi. Saling bermaafan, kesederhanaan tulen, kebijakan dan keterbukaan boleh memujuk lebih ramai rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk menyertai GHB ini.  In sha Allah."

Kaedah fiqh menyebut:

يغتفر في الوسائل ما لا يغتفر في المقاصد
“Dimaafkan pada perkara yang bersifat wasail, tetapi tidak dimaafkan pada perkara yang bersifat maqasid.” [Al-Aqmar Al-Mudi’ah : 235]

_______________________
TIMBALAN PRESIDEN PAS MOHON MAAF,  RAYU AHLI JANGAN TINGGAL PARTI

The Malaysian Insider
16 Julai 2015

DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man memohon maaf kepada semua ahli PAS atas krisis yang sedang dihadapi parti itu sekarang ini dan memujuk mereka agar tidak meninggalkan parti.

Timbalan presiden PAS itu berkata, ahli-ahli tidak perlu meninggalkan parti kerana pemimpin yang tidak mereka sukai akan pergi juga satu hari nanti.

"Kepada ahli-ahli parti, saya mewakili barisan kepimpinan PAS Pusat yang baharu dan lama memohon maaf atas krisis yang sedang dihadapi parti pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Pemimpin datang dan pergi. Yang ada hari ini akan pergi jua satu hari nanti."

Kumpulan yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah menubuhkan Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) – medium sementara sebelum Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan sebuah parti baharu .

Tuan Ibrahim dalam ucapan sempena hari raya itu berkata, hari raya tahun ini berbeza dengan yang sudah-sudah.

"Hari Raya ini cukup berbeza kerana negara hari ini berada di dalam persimpangan dan rakyat pula terjerut di tengah-tengahnya. Hari ini Malaysia berdepan dengan pelbagai masalah."

Menurut Tuan Ibrahim yang berada dalam "cai" kumpulan konservatif dalam pemilihan PAS lalu, negara berdepan dengan kelemahan nilai ringgit dan ketidakyakinan pelabur kesan daripada kemelut politik.

Kepimpinan negara pula, katanya, menghadapi masalah integriti, tuduhan rasuah dan tidak amanah dalam kontroversi yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Haji dan lain-lain.

"Institusi-institusi kerajaan berdepan dengan masalah defisit kepercayaan rakyat dan kredibiliti, termasuklah Bank Negara, hanya kerana kemelut 1MDB. Tugas mereka umpama kertas membalut api."

Di tengah-tengah kemelut ini, katanya, terjadilah pula insiden Low Yat yang cuba diambil kesempatan sesetengah pihak untuk menghidupkan api perkauman yang dahsyat.

"Khazanah negara termahal iaitu kepelbagaian dan keharmonian rakyatnya cuba diroboh sekadar cuba mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar yang sedang melanda negara."

Menurut Tuan Ibrahim, ketika Barisan Nasional berada dalam keadaan lemah, parti-parti pembangkang turut berpecah.

"Kerjasama yang terjalin sejak 2008 kini goyah dan tidak menentu. Apapun kerja melawan kezaliman dipercayai akan terus dipergiatkan sehingga PRU14.

"Kita tetap sahabat, walaupun bukan ahli keluarga," katanya dilihat cuba memujuk agar kerjasama boleh terus terjalin di kalangan parti pembangkang ketika PAS berpecah dua. – 16 Julai, 2015.