Skip to main content

2,059 guru agama terima RM596,200 'duit raya' sebab integriti Letakkan P.Pinang, kata Guan Eng

KETUA Menteri dua dari kiri) diiringi Mohamad Sabu (paling kiri) dan Abdul Malik Kassim (tiga dari kiri) menyerahkan cek replica kepada wakil penerima sumbangan khas kepada Guru Tahfiz, Ustaz Hishamuddin Mohd. pada majlis di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Ketua Menteri,  Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyerahkan replika cek bantuan khas kewangan 2015  berjumlah RM596,200 kepada guru agama pelbagai kategori di negeri ini, sebagaimana menjelang musim perayaan Aidilfitri pada tahun-tahun sebelum ini.

Penerima, 1,472 guru Kelas Al -Quran dan Fardhu Ain  (KAFA), 14 Penyelia KAFA, 166 guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), 192 guru  Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), 170 guru Tahfiz,  19 guru sekolah sekolah pondok dan 26 guru Tadika Islam (TADIS).

"Kalau sesebuah Kerajaan Pusat mengamalkan integriti, tentulah tak akan berlaku '1Malaysia Dalam Bahaya' atau  1MDB dengan hutang tertunggak mencecah lebih RM42 bilion, yang turut mendapat liputan media-media dari luar negara.

"Sumbangan khas boleh diuruskan kerana kita ada surplas, walaupun Kerajaan Negeri tidak begitu 'senang' seperti dulu disebabkan terbeban (oleh) GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), sebagaimana susah ditanggung oleh rakyat.

"Kerana ada integriti, kita  (Kerajaan Negeri) berbelanja secara hemah dan lebihan kewangan inilah dikongsi dengan menyalurkan pemberian khas kepada guru-guru agama yang begitu banyak sumbangannya kepada pembangunan modal insan di negeri ini," jejas Guan Eng pada Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama Ketua Menteri Pulau Pinang di depan hampir 1,000 tetamu di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy  (Timbalan Ketua Menteri II) dan Chow Kon  Yeow  (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) turut hadir pada majlis yang dilangsungkan di Hotel The Light dekat Seberang Jaya.

Tuan Haji Mohamad Sabu sebagai peneraju utama pemimpin PAS yang dikenali sebagai "G18", Dato' Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi  (Pengerusi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia, PasMa), Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa (bekas ahli lembaga pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang, YIPP) antara tetamu utama pada majlis jamuan itu.

Mohamad Sabu yang lebih mesra dipanggil "Abang  Mat" dalam ucapannya menyatakan bahawa pasukannya akan tetap mempertahankan Kerajaan Rakyat Pulau Pinang,  sungguhpun semua pemimpin pembangkang terpaksa bersama-sama melalui saat yang sukar selepas tiada lagi muafakat pembangkang atas nama Pakatan Rakyat.

"Tugas kita bukan hanya menggantikan Umno dan Barisan Nasional, (maka) kita perlu bentangkan satu formula baru.

"Saya sokong kuat kerajaan Pulau Pinang kerana ia mempunyai integriti dan mengamalkan budaya dan nilai yang serupa dengan ajaran Islam.

"Ia bukan tentang semangat Melayu tetapi semangat harmoni. Tiada ubat lain selain daripada mengubah kerajaan," tegas Mohamad Sabu, sambil menyatakan iltizam politik untuk menubuhkan sebuah parti Islam baru bagi menggantikan fungsi PAS dalam pakatan pembangkang yang baru selepas perayaan Aidilfitri nanti.

Mujahid pula memberitahu bahawa usaha menyuburkan integriti dalam tadbir urus negara dan negeri mesti diuruskan, walaupun selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.

"Kita akan lihat satu gelombang baharu, harap-harap dengan ketibaan Syawal (Aidilfitri), kita akan lihat munculnya gelombang baharu," katanya di majlis tersebut.

Mewakili penyokong Pakatan Rakyat yang terdiri oleh lebih empat juta pengundi tradisi semasa pilihan raya dulu, Phahrolrazi pun menaruh harapan agar sebuah pakatan pembangkang yang baharu turut dapat ditubuhkan seiringan dengan kerja-kerja  G18 menubuhkan sebuah parti Islam pada masa terdekat ini.

"Kita (pembangkang) mesti ada gabungan baru...saya sudah katakan, kalau G18 tak buat, PasMa akan buat," seloroh Phahrolrazi disambut tepukan gemuruh para tetamu.