Skip to main content

13 atlet dapat pingat emas dibayar RM51,000

BEBERAPA atlet dari Pulau Pinang yang berjaya menyumbang pingat emas kepada negara memegang cek replika insentif SKIMAS berjumlah RM51,000 selepas sidang media Kerajaan Negeri di sini, petang tadi. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri membayar RM51,000 kepada 13 atlet dari Pulau Pinang yang berjaya menyumbang 15 pingat emas kepada negara pada Kejohanan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) pada bulan Jun lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, ganjaran itu sebagai menghargai sumbangan bakat Pulau Pinang yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dan Pulau Pinang di persada antarabangsa.

“Mereka bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negara, tetapi juga telah menjulang martabat serta nama Pulau Pinang sebagai negeri yang menghasilkan atlet-atlet berprestasi tinggi dan berwibawa,” jelas Guan Eng kepada wartawan di sini, petang tadi.

Penerjun akautik negara, yang merangkul empat pingat emas menerima insentif sebanyak RM18,000, diikuti, RM9,000 untuk Thor Chuan Leong yang berjaya merangkup dua pingat emas dalam acara Snooker & Billiard.

Esther Cheah Mei Lan yang berjaya merangkul dua pingat emas dalam sukan Tenpin Bowling diberi insentif RM4,500.

Atlet Snooker & Billiard, Moh Keen Hoo serta atlet Tenpin Bowling Esther Cheah Mei Lan yang turut berjaya mendapat satu pingat emas masing-masing diberi insentif sebanyak RM3,000.

Insentif sebanyak RM2,000 diberikan kepada atlet Wushu, Anggie Cheah Ruey Shin, Chan Lu Yi (Wushu) dan Zulfadhli Ruslan (memanah).

Penerima lain, Andrian Ang Hsein Loon (Tenping Bowling), Siti Noor Amarina Ruhani, Siti Rahmah Othman, G. Vanessa Raj (skuasy), Mohamad Syahid Mohd. Rosdi (regu lelaki sepak takraw), Muhammad Azwar Abdul Rahman (hoki berpasukan) dan Mohd. Adi Fadri Ab. Rahim (hoki berpasukan) masing-masing turut diberi insentif RM1,500.

Difahamkan, kesemua 13 atlit berkenaan menerima pembayaran insentif berbentuk wang di bawah Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS).

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada 15 atlet lain yang berjaya mendapat 17 pingat perak, serta 13 pingat gangga oleh 22 atlet negara kelahiran negeri ini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Dato' Freederick Tan Teck An dan Ahli Lembaga Pengarah MSNPP merangkap Setiausaha Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Ang Aing Thye turut menghadiri majlis pembayaran insentif atas kejayaan atlet-atlet yang berjaya mendapat pingat emas pada Sukan SEA yang berlangsung di Singapura pada 5 hingga 16 Jun lepas.