17 June 2015

Serangan Dr. Mahathir punca nilai ringgit susut tak logik, Guan Eng respons Ahmad Maslan

KETUA Menteri (berbaju merah) dengan dua Exco Kerajaan Negeri lain menyerahkan replika cek Bantuan Insentif Pemandu Teksi berjumlah RM193,800 bagi 646 penerima peringkat Kawasan Seberang Perai di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Tak mungkin serangan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu skandal hutang tertunggak 1Malaysian Developement Berhad (1MDB) kira-kira RM42 bilion sebagai punca penyusutan berterusan nilai Ringgit Malaysia (RM) belakangan ini.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menganggap dakwaan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ke atas Dr. Mahathir itu adalah tidak logik.

“Dulu, 950 Bath (untuk RM100), sekarang tinggal 830 Bath.

"Mengapa kita (Malaysia) pertumbuhan ekonomi 6 peratus, sedangkan ia (ekonomi Thailand) bertumbuhan hanya 1 peratus, tetapi nilai (matawang) Bath lebih kukuh berbanding kita (Ringgit Malaysia).

"Mengapa...Kerana di Thailand tiada skandal 1MDB, tetapi di sini (tanah air) ada '1Malaysia Dalam Bahaya'.

“Marah Najib, nilai Ringgit Malaysia boleh turunkah...apa punya logik ini," kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan semasa berucap pada Majlis Penyampaian Insentif RM300 kepada Pemandu Teksi Kali Ke-6 di sini baru-baru ini.

Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang (Gabungan), Abd. Malek Darus turut berucap pada majlis tersebut, yang dilangsungkan di Kompleks Ibupejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis bagi MPSP).

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut menggesa Kerajaan Pusat supaya tidak menaikkan tol, sebagaimana didedahkan oleh pihak tertentu dalam media elektronik baru-baru ini.

“Kita kena minta Kerajaan Pusat jangan naikkan tol kerana sudah ada GST (Cukai Barangan & Perkhidmatan) dan (kenaikan harga) minyak," tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Difahamkan, seramai 2,627 pemandu teksi bajet, teksi lapangan terbang, teksi eksekutif, teksi mewah, limousin dan kereta bagi sewa kawasan Seberang Perai yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri menerima pemberian insentif yang keseluruhannya berjumlah RM788,100 pada majlis kali ini.

Guan Eng memberitahu bahawa semua penerima dihargai kerana turut dilihat membantu pembangunan sektor perkhidmatan secara tidak langsung, iaitu industri pelancongan negeri.

"Anda semua bukan sahaja duta kecil kepada Kerajaan Negeri, bahkan untuk seluruh rakyat Pulau Pinang," ujar beliau.

Hishak Sulaiman (kiri) dan B. Ramadas
Sementara itu, Hishak Sulaiman, 62, melahirkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Negeri memberi insentif RM600 dalam dwi majlis tiap-tiap tahun.

"Insentif ini memang membantu meringankan perbelanjaan keluarga para pemandu teksi, (maka) saya harap insentif ini berterusan," jelas beliau, yang berkerjaya sebagai pemandu teksi sejak 33 tahun lepas.

Nada yang sama turut diluahkan oleh B. Ramadas.

"Insentif ini senantiasa ditunggu-tunggu oleh kami untuk membaiki teksi serta memperbaharui Cukai Jalan," jelas Ramadas, pemandu teksi berpengalaman selama 25 tahun.

N. Puspanathan
N. Puspanathan, 54, pula berharap Kerajaan Negeri boleh berunding dengan Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung syor pemandu diminta membeli kenderaan baru bagi teksi yang berusia lebih 10 tahun.

"Sudah tiga kali dapat (insentif), saya sangat gembira.

"Tapi, saya berharap Kerajaan Negeri dapat melakukan sesuatu kerana kereta lama kami diminta tukar pada kereta baru, sekarang," jelas beliau.

Pemberian insentif RM600 setahun atau RM300 dalam dua majlis sumbangan kepada para pemandu teksi berdaftar dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, susulan manifesto Pakatan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei 2015.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus