Skip to main content

Tuduh tarif perniagaan PBAPP ‘lebih membebankan’ penjaja salah, respons Jaseni Maidinsa

GRAF perbandingan tarif air kategori perniagaan mengikut negeri-negeri, dipetik daripada dokumen laporan rasmi PBAPP.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menolak tuduhan beberapa pihak yang mendakwa penjaja Pulau Pinang dilayan secara tidak adil dengan tarif air yang membebankan, berbanding kadar yang ditanggung oleh sektor pembinaan di negeri ini.

JASENI Maidinsa
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa memberitahu purata tarif perniagaan sebanyak RM1.36 bagi setiap 1,000 liter untuk 500,000 liter pertama tiap-tiap bulan sebenarnya di bawah kadar purata tarif kebangsaan pada kadar RM1.45.

Malah katanya lagi, kadar rata untuk Bekalan Sementara seperti pembinaan bangunan atau pengubahsuaian kini dibilkan pada tarif RM1.95 bagi setiap 1,000 liter.

“Pada 10 September 2014, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan rebet 35 peratus ke atas cadangan tarif kadar rata RM3.00 bagi menyokong industri pembinaan di Pulau Pinang.

“(Maka,) sektor pembinaan bayar RM1.95 setiap 1,000 liter untuk ‘Bekalan Sementara’ (seperti) pembinan bangunan dan pengubahsuaian, (sekaligus menggambarkan) sektor pembinaan bayar RM0.59 lebih daripada yang dibayar oleh penjaja (pada kadar RM1.36 setiap 1,000 liter).

“Tuduhan (tarif air yang kenakan ke atas penjaja lebih membebanan berbanding sektor pembinaan) ini, seperti yang disiarkan dalam portal berita, adalah salah dan mengelirukan,” respons Jaseni kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Lagipun katanya, tarif perniagaan bagi kegunaan air di Pulau Pinang sebenarnya lebih rendah berbanding tujuh negeri lain, iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Purata tarif perniagaan (di sembilan negeri terbabit) untuk 500,000 liter pertama setiap bulan berada (pada kadar) di antara RM1.40 hingga RM2.93, (sedangkan) di Pulau Pinang ia hanya RM1.36,” jelas Jaseni lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan bahawa tarif perniagaan RM1.36 bagi setiap 1,000 liter yang dikenakan sebenarnya memberikan kesan paling minimum pada kos makanan penjaja di negeri ini, berbanding dengan tanggungan membebankan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) serta kenaikan tarif elektrik dan harga minyak petrol.

Jelasnya, bekalan air yang dibilkan bagi penggunaan 1,000 liter air tiap-tiap bulan hampir menyamai jumlah isipadu air yang terkandung dalam 667 botol air miniral sebesar 1.5 liter.

Dengan erti kata lain, jelasnya lagi, penjaja di Pulau Pinang hanya membayar purata tarif hanya 0.136 sen setiap liter air, jika tarif perniagaan sebanyak RM1.36 dibahagi dengan 1,000 liter.

“Sebagai perbandingan, harga petrol RON95 adalah RM1.95 seliter pada 1 Mei 2015 atau lebih daripada 1,400 kali lebih tinggi daripada purata tarif perniagaan bagi 500,000 liter yang pertama sebulan di Pulau Pinang.

“Sementara itu, harga sebotol air minuman mineral adalah daripada RM1.20 setiap botol atau kira-kira 880 kali lebih mahal.

“Oleh itu, apa-apa peningkatan dalam harga makanan penjaja di Pulau Pinang berkemungkinan disebabkan kos petrol dan elektrik serta GST 6 peratus yang dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan ke atas harga kebanyakan barangan makanan mentah dan diproses, yang digunakan setiap hari oleh penjaja di seluruh Malaysia,” jelas Jaseni lagi.