22 May 2015

Rohingya 'saudara' PERMUAFAKAT, kata aktivis dakwah Mamu Rasyid

MAMU RASYID atau nama sebenarnya Mohd. Naki Md. Ali.

PULAU PINANG, khususnya kawasan pantai sekitar Balik Pulau merupakan antara destinasi mendarat pelarian-pelarian Rohingya menyelamatkan nyawa daripada kezaliman pemerintah 'Junta' Myanmar sejak lebih tiga tahun lepas.

Namun, Malaysia termasuk negeri ini digambarkan seperti beberapa negara jiran, yang didakwa enggan memberi bantuan kemanusiaan berwajib kepada golongan tertindas terbabit, yang rata-ratanya beragama Islam.

Bagaimanapun, “Mamu Rasyid” atau nama sebenarnya Mohd. Naki Md. Ali, 47, iaitu Setiausaha Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat Pulau Pinang (PERMUAFAKAT) semasa diwawancara fotojurnalis, ZAINULFAQAR YAACOB, umumnya memberikan gambaran sebaliknya.

Katanya, ini kali ke-13 beliau bersama-sama rakan sukarelawan lain menguruskan kebajikan sementara pelarian Rohingya yang ditemui di negeri ini.

“Saya terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan dalam isu pelarian Rohingya di negeri ini sejak tahun 2012 lagi dan pernah sampai 230 orang pelarian pada satu-satu masa.

“Terbaru, adalah menguruskan keperluan 78 orang Rohingya, terdiri (oleh) lelaki dewasa, perempuan dewasa dan kanak-kanak serta tujuh bayi, pada pertengahan bulan April baru-baru ini.

“Pada malam itu, kami daripada PERMUAFAKAT dan NGO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia atau MAPIM dibenarkan ziarah mereka di IPD (Ibupejabat Polis Daerah) Balik Pulau yang dijadikan tempat transit pelarian ini.

“Di tempat lain saya tidak pasti, tetapi di Pulau Pinang, Pegawai Penyiasat 'Tuan Raduan” banyak membantu, dengan menempatkan sementara 78 pelarian ini di pusat transit sementara (dekat IPD Balik Pulau).

“Setakat ini, sebenarnya pihak polis dan pasukan Maritim Alhamdulillah tak pernah usir pun pelarian pendatang-pendatang Rohingya yang lari daripada Arakan ke negeri ini,” jelas Mohd. Naki, sambil memberitahu bahawa isu pelarian Rohingya di negeri ini didepani melalui pergerakan sukarelawan banyak pihak.


PENGALAMAN
Menurut Mohd. Naki, pelarian Rohingya yang mendarat di Pulau Pinang akan ditempatkan di IPD Balik Pulau, sebelum dibawa ke “lokap berpusat” dekat IPD Bayan Baru, seterusnya ke Bangunan Maritim di Penang Road.

“Langkah pertama, pelarian Rohingya ini akan diberikan pemeriksaan kesihatan daripada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Malaysia Relief Agency (MRA) yang diketuai oleh 'Dr. Rasyidah' serta klinik-klinik yang terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan dengan kita untuk membekalkan tenaga doktor dan ubat-ubatan.

“Kedua, PERMUAFAKAT akan membuat panggilan kepada semua masjid di Pulau Pinang untuk menyediakan bekalan makanan dan pakaian sebaik mungkin dan saya sendiri yang pergi pungut dari satu masjid ke satu masjid untuk dihantar kepada pelarian Rohingya di pusat transit.

“Ketiga, kiat juga akan memanggil orang-orang Rohongya sendiri untuk masak dengan barang-barang mentah yang PERMUAFAKAT dan MAPIM sediakan di bahagian atas (bangunan), jika pelarian ini berada di Bangunan Maritim.

“Barang bekalan makanan dari Thailand yang banyak ditemui dalam tongkang Rohingya dari Arakan (Myanmar) di negeri ini, ertinya mereka hanya diberikan bekalan makanan dan kemungkinan diusir keluar selepas mendarat di perairan Laut Andaman (dekat Thailand).

“Mereka yang dijumpai di perairan Pulau Pinang, akan dibawa ke darat, sebab itu saya kata, layanan kita, polis dan Maritim di negeri ini tidaklah sampai mengusir pelarian Rohingya, sebagaimana digambarkan dalam internet.

“Dan perlu diingat, bahawa Malaysia termasuk Pulau Pinang ini adalah tempat transit sahaja, bukan bermastautin, sebaliknya, mereka ini selepas mendapat kad UNHCR akan ke negara-negara lain seperti Australia untuk bekerja dan memulakan hidup baru,” jelas Mohd. Naki lagi.


PERMUAFAKAT & SUKARELAWAN ANTARABANGSA
Kata Mohd. Naki, PERMUAFAKAT ini beberapa kali turut cuba cuba menghantar bantuan kemanusiaan berupa wang serta bantuan makanan, pakaian dan ubatan-ubatan ke wilayah bergolak Arakan dekat negara Myanmar, namun, gagal.

“Apabila sampai di Rangoon, bantuan kemanusiaan kita disekat oleh 'junta' (pemerintah tentera). Akhirnya, kita mengambil keputusan untuk membantu bekas-bekas pelarian Rohingya yang turut dihalang pulang ke Arakan di Rangoon.

“Sebenarnya Rangoon ini adalah bumi yang subur untuk pertanian serta mempunyai hasil dan batu permata.

“Malah, kami diberitahu bahawa sejarah Rohingya di sana sebenarnya menguasai ekonomi serta tanah, sebelum berlaku penghapusan etnik Rohingya seperti sekarang ini.

“Rohingya seakan tidak dibenarkan tinggal di Rakhine State di bawah negara Myanmar, yang dulunya dikenali sebagai Arakan di bawah Burma, walhal di Rangoon memang ramai umat Islam yang hidup berniaga dan menguasai ekonomi bandar tersebut.

“Sebab itu, saya sendiri lebih melihat bahawa isu di sana adalah isu perebutan tanah dan hasil bumi, walaupun banyak umat Islam melihat ini sebagai isu permusuhan dengan suatu agama lain.

“Dan, saya sendiri melalui PERMUAFAKAT serta MAPIM dan NGO-NGO lain membantu Rohingya secara sukarelawan atas semangat persaudaraan Islam.

“Kalau mereka tidak lari ke Malaysiapun atau mati di perut laut pun, pelarian Rohingya ini tetap akan mati di bawah rejim junta Arakan.

“Sepatutnya itu pelarian Rohingya ini sama sahaja dengan isu pembunuhan rakyat di wilayah bergolak Palestin atau Syiria dan beberapa negara umat Islam di Timur Tengah, tetapi, sensitiviti umat Islam di negeri ini berhubung nasib Rohingya masih pudar.

Di Arakan, lelaki Rohingya menang banyak yang dibakar dan dibunuh, manakala, gadis-gadis mereka ada yang dirogol tanpa prikemanusiaan, ini semua memang berlaku,” jelas beliau, sambil menyeru lebih banyak NGO Islam dan bukan Islam tampir mendepani isu pelarian Rohingya belakangan ini.

BANTU SAUDARA TERDEKAT
Walaupun dihambat dengan pelbagai kerja-kerja sukarelawan dalam isu Rohingya di negeri ini, Mohd. Naki berkata, tanggungjawabnya kepada komuniti di KADUN Seberang Jaya, khususnya Kariah Masjid Semilang tidak pernah diabaikan.

“Rasulullah S.A.W ajar kita kena jaga jiran tetangga serta bantu kesusahan saudara terdekat jika ada, walaupun berbeza agama sekalipun (kerana) ini ajaran Islam yang sebenar.

“Namapun dah Jawatankuasa Kariah Masjid, ertinya jawatankuasa kami di Masjid Jamek Kariah Semilang ini kena ambil tahu kebajikan semua ahli kariah masjid ini, bukan sekadar mereka yang datang masjid saja.

“Jadi, saya bersama-sama Tuan Haji Alim Araby (Pengerusi Jawatankuasa Masjid) menjadikan Masjid Semilang ini sebaga pusat menjaga kebajikan, golongan terpilih,” jelas Mohd. Rashid yang juga Setiasuaha bagi Jawatankuasa Kariah Masjid Semilang.

Katanya, komuniti di rumah pangsa Ampang Jajar ini banyak yang susah dan wajib diberikan perhatian yang lebih daripada Kerajaan Negeri serta agensi-agensi berwajib yang lain.

“Kadang-kadang boleh sampai nak keluar air mata apabila mendapati ada anak kecil ditinggalkan sepagi di rumah kerana ibu nak cari duit beli makan dan susu.

“Janda rata-rata umur 20 tahun hingga 25 tahun, atas sebab bercerai atau suami terlibat dengan dadah, murung dan menghilangkan diri, mereka bukan minta untuk jadi orang susah, sebab itu kita kena fikir bagaimana nak mengurangkan beban hidup mereka.

“Saya dan Haji Halim berkali-kali pergi ke pejabat Zakat (Pulau Pinang, ZPP) agar mereka ini dibantu, tetapi, Alhamdulillah urusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sangat memuaskan,” ujar beliau.

Justeru, Mohd. Naki berharap ZPP serta agensi-agensi berwajib yang lain perlu mengadakan program pengupayaan khusus untuk komuniti terpilih ini agar mereka boleh menjadi keluar daripada maksud golongan asnaf kepada golongan pembayar zakat.

“Tak boleh kita kata jangan terlalu 'bagi muka' sangat kepada mereka ini dengan beri bantuan zakat, bagi saya, mereka golongan asnaf yang wajib dibantu dengan program-program khusus, termasuk cuba bagi mereka ini boleh berdikari cari duit sendiri,” jelas Mohd. Rashid sambil merakamkan penghargaan kepada ZPP yang banyak meluluskan permohonan bantuan zakat kepada komuniti terpilih di kariah Masjid Semilang.

Terbaru, Mohd. Naki memberitahu bahawa Jawatankuasa Kariah Masjid Semilang turut melaksanakan “Kongsi Rezeki”, iaitu menggalakkan ahli kariah membeli barang-barang makanan serta keperluan asas di kiosk di sini dan serahkan kepada pentadbiran masjid untuk diagihkan kepada golongan terpilih.

“Kalau boleh membantu orang susah, saudara terdekat dan jiran tetangga, memang suatu kepuasan.

“Kadang-kadang kerja-kerja ini memang tak dapat untung dalam duit ringgit, tetapi Allah bayar dengan nikmat kesihatan dan anak-anak yang terdidik soleh, in sha Allah,” jelas Mohd. Naki lagi.


Info:

Hubungi Mohd. Naki Md. Ali di talian 0134145663 untuk maklum balas lanjut, dan salurkan sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama “Masjid Semilang”, 07016010053638.





No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus