Skip to main content

RM5 juta Levi hotel tak berperundangan, kata Ketua Pembangkang P.Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri tidak boleh mengutip sebarang cukai melainkan perlu mempunyai enakmen khusus serta mendapat kelulusan Kementerian, sebagaimana dirujuk pada Bahagian Tiga Enakmen Kewangan.

Justeru, Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Dato' Jahara Hamid mendakwa langkah Kerajaan Negeri mengutip kira-kira RM5 juta levi atau cukai khas kepada penginap hotel di negeri ini sebagai tidak berperundangan.

"(Enakmen tersebut menyebut) tiada cukai atau kadar boleh dilevikan oleh atau bagi maksud negeri kecuali melalui atau di bawah kuasa undang-undang."

"Levi membawa maksud cukai, maka, tidak boleh bagi sesebuah Kerajaan Negeri untuk mengutip cukai tanpa terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada kementerian kewangan dan Kastam.

"Maknanya, kalau nak kenakan levi, dia (rang undang-undang) kena dibentangkan dan buat enakmen di bawah Kerajaan Negeri.

"Kalau benarlah telah dikutip levi, maka ini menyalahi undang-undang," ujar Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Pelaksanaan levi yang didakwa tidak berperundangan ini mula-mula dibangkitkan oleh ADUN Sungai Acheh, Dato' Mahmud Zakaria. 

Terdahulu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mula bercakap mengenai levi semasa perbentangan Bajet Kerajaan Negeri 2013 pada sesi mesyuarat penggal lepas antara lain mengumumkan pelaksanaan levi berwajib sahaja.

Sejak Jun tahun lepas, Kerajaan Negeri mengenakan RM3 bagi tiap-tiap kamar hotel bertaraf empat bintang dan ke atas, serta RM3 untuk bilik hotel bertaraf dua bintang dan ke bawah.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dijangka akan memberi penjelasan berwajib pada sesi penggulungan kelak.