Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BAGAN JERMAL - Majlis penutupan Kejohanan Bola Keranjang Piala PYDC Peringkat Daerah Sebarang Perai Utara (SPU) 2015 disempurnakan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.
Pasukan Heng Enterprise menjuarai kategori bawah 35 tahun, diikuti pasukan Taman Bagan, KauBei Basketball dan VR Nothing.
Manakala, pasukan O'School pula memenangi kategori bawah 20 tahun, diikuti CDK-JR, Butterworth Chung Ling, BW Kampong Baru Hock Teck S1 dan Taman Bagan.
"Sukan tidak melihat pada bangsa seorang individu, tapi lihat pada mutu persembahan berpasukan atau seseorang individu.
"Kita (Kerajaan Negeri) memang mahu pilih yang terbaik, barulah kita (Kerajaan Negeri) boleh menjadi yang terbaik," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan di Gelanggang Bola Keranjang Taman Bagan di sini, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Phee Boon Poh (ADUN Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) dan Tang Kok Liang (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang, PYDC) turut hadir pada majlis tersebut.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut mempertikai etika pemberitaan beberapa akhbar berbahasa Cina tertentu yang mendakwa pentadbirannya hanya menjaga kepentingan kontraktor Bumiputera di negeri ini.
"Kita (Kerajaan Negeri) tidak pernah mengamalkan politik perkauman dalam pembangunan negeri, (sebaliknya) di mana kontrak diagihkan secara sama-rata dan secara tender terbuka sahaja.
"Sebagai contoh, kontraktor Gred G1 atau Kelas F memang khusus untuk Bumiputera (dan) Melayu pun dilakukan secara tender terbuka, di mana mereka yang berkualiti sahaja layak dipertimbang untuk terima kontrak," ujar Guan Eng yang juga ADUN Air Putih.
No comments:
Post a Comment