CHOW Kon Yeow (kanan sekali) dan Norlela (dua dari kanan) bersama-sama pemimpin komuniti setempat melawat salah satu projek pembinaan parit di Kampung Tanah Liat di sini baru-baru ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PENANTI - Kerajaan Negeri akan menyalurkan
peruntukan sebanyak RM54 juta secara berperingkat mulai tahun ini
untuk melaksanakan empat projek tebatan banjir berskala besar di
sekitar Daerah Seberang Perai Tengah.
Exco Kerajaan Tempatan, Lalulintas dan Tebatan Banjir,
Chow Kon Yeow berkata, insiatif bersepadu membabitkan Jabatan
Pengairan & Saliran (JPS), Pejabat Daerah & Tanah (PDT) dan
Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) itu diharap dapat
mengurangkan lagi risiko banjir kilat di beberapa kawasan tumpuan
bencana pada masa depan.
“Inilah projek berskala lebih besar yang akan
dilaksanakan di Daerah SPT pada tahun ini untuk tempoh dua hingga
tiga tahun, di mana peruntukan RM54 juta diperlukan bagi melaksanakan
empat projek berimpak tinggi ini.
“Bagi tahun 2015 adalah untuk kajian dan reka bentuk
pemajuan, mungkin yang diperlukan adalah tidak banyak (peruntukan),
tetapi, pada tahun 2016 dan 2017 adalah kerja-kerja pemajuan mula
dilaksanakan sampai siap.
“Kita rasa, selepas siap keempat-empat projek ini, ia
akan membawa impaknya lebih luas dengan mengurangkan risiko banjir,”
jelas beliau kepada wartawan di Pejabat Khidmat ADUN Penanti, Dr.
Norlela Ariffin di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee
Khai Loon turut hadir pada majlis penerangan mengenai rancangan
pembangunan masa depan projek tebatan banjir peringkat SPT, yang
dikendalikan oleh wakil JPS.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata Kerajaan
Negeri pada tahun ini menyalurkan peruntukan sebanyak RM875,000
kepada JPS untuk melaksanakan tujuh projek berskala kecil dan
sederhana di KADUN Penanti.
Difahamkan peruntukan itu untuk pembangunan rumah pam,
pembinaan perangkap sampah, longkah konkrit jenis “u-drain” dan
“v-section” serta tembok “gobion” di beberapa lokasi sekitar
Kubang Semang, Kubang Ulu, Mengkuang Semarak, Tanah Liat, Mengkuang
Titi dan sebagainya.
PDT pula, katanya lagi, turut diberikan peruntukan
sebanyak RM477,000 untuk melaksanakan 10 projek pemajuan serupa di
KADUN tersebut.
“Keseluruhan anggaran kos projek yang dibiayai oleh
Kerajaan Negeri dengan dilaksanakan oleh JPS SPT dan PDT SPT adalah
sebanyak RM1,352.000,” jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Padang Kota.
No comments:
Post a Comment