14 May 2015

Pulau Jerejak: KM tunggu UDA tunai dua syarat dulu

Oleh: ZAINULPFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak akan membuat sebarang pengesahan berhubung pembangunan masa depan projek Tropical Island Resort Sdn. Bhd. (TIR) di atas sebidang tanah dekat Pulau Jerejak sehinggalah syarikat persekutuan, UDA Holdings Berhad memenuhi dua syarat yang diputuskan secara bersama, sebelum ini.

LIM Guan Eng
Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, pihaknya sehingga kini masih menunggu maklum balas rasmi berhubung projek kontraversi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dahulu.

“Pertama, kita (Kerajaan Negeri hari ini) mesti mendapatkan nilai harga sebenar tanah yang dijual begitu murah daripada harga pasaran oleh kerajaan lama (era Barisan Nasional).

“Kedua, apa-apa pelaburan yang dibuat oleh PDC di bawah kerajaan lama (era Barisan Nasional), kita mesti dapat balik.

“Selagi tiada surat hitam putih daripada UDA, Kerajaan Negeri tidak akan membuat apa-apa pengesahan,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada sidang media di sini, petang tadi.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakkat, Chong Eng turut menyertai sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Justeru, Guan Eng memberitahu Kerajaan Negeri hari ini melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut akan menuntut baki 90 peratus premium tanah berkenaan daripada UDA.

“Kerajaan hari ini tidak pernah menjual tanah walau seincipun di pulau tersebut.

“Kerajaan lama (era Barisan Nasional) dahulu yang jual tanah tersebut di mana mereka (UDA) dibenarkan membayar 10 peratus sahaja, lepas itu pindah milik diuruskan.

“Ini, bercanggah dan melanggar undang-undang kerana kita kena bayar habis, baru boleh pindah milik tanah Kerajaan Negeri.

“Hanya di bawah Kerajaan Negeri hari ini, barulah kita boleh menuntut balik baki pembayaran premium tanah,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Sebelum itu, ADUN Pulau Betong, Sr. Muhamad Farid Saad pada sesi mesyuarat DUN membangkitkan ura-ura 10,000 unit rumah mewah lengkap dengan jambatan akan dibina oleh oleh Kerajaan Negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir,Chow Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui PDC hanya menjual 49 kepentingannya dalam TIR yang membabitkan beberapa lot tanah di pulau tersebut.

"Kami tidak menjual seluruh pulau... hanya beberapa lot (sendiri oleh PDC dalam usaha sama TIR).

"Bahagian-bahagian lain di pulau itu, yang merupakan sebahagian besar daripada pulau itu, akan masih dikekalkan sebagai hutan simpan," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional telah meluluskan pajakan tanah seluas 80 ekar di Pulau Jerejak dengan nilai berbaki RM10.6 juta selama 60 tahun, iaitu mulai 15 Januari 2001 hingga 10 Oktober 2062.

Exco terbabit pada 3 Januari 2001 direkodkan membuat keputusan bahawa TIR diberikan geran hak milik sebaik sahaja ansuran pertama dilakukan, sungguhpun tidak menjelaskan sepenuhnya.

Langkah itu jelas bertentangan dengan Seksyen 180 Kanun Tanah Negara, yang menyebut Pentadbir Tanah hanya boleh mengeluarkan geran apabila bayaran premium dijelaskan sepenuhnya.

Jumlah premium tanah pula direkodkan sebanyak RM12.95 juta, iaitu menyamai RM3.72 sekaki persegi bagi tanah berkeluasan 80 ekar.

Dan, kadar faedah yang dikenakan ialah 4 peratus setahun, dengan tempoh pembayaran balik selama 10 tahun mulai 2004 hingga 2013.

“Baki yang masih belum dijelaskan adalah sebanyak RM10.6 juta, termasuk faedah sebanyak RM1.81 juta.

“Kerajaan Negeri telah kehilangan tanah sungguhpun premium tanah belum dibayar balik,” tegas Guan Eng baru-baru ini.

Guan Eng turut mengumumkan kehilangan kos pelaburan PDC berjumlah RM15.435 juta berdasarkan pegangan ekuiti 49 peratus, daripada keseluruhan modal berbayar TIR sebanyak RM31.5 juta.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk RM3.6 juta kehilangan pinjaman pemegang saham oleh PDC yang turut dituntut daripada TIR.

“Pada 28 Disember 2007, PDC telah memberi pinjaman pemegang saham sebanyak RM3.41 juta kepada TIR untuk menampung kos operasi syarikat.

“Keseluruhan jumlah tersbeut sebanyak RM3.6 juta (iaitu) termasuk faedah sebanyak RM193,553 atas faedah 3.5 peratus setahun yang masih belum dijelaskan,” jelas Guan Eng menyanggah tuduhan pihak pembangkang yang kononnya Kerajaan Negeri hari ini mahu menggadai tanah di Pulau Jerejak.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus