Skip to main content

Kuasa internet mampu tenggelamkan sokongan PAS di PRU14 jika bersendirian selepas Muktamar, nasihat PasMa P.Pinang

ZOLKIFLY Md. Lazim (berdiri) berdialog menyakinkan komuniti umat Islam setempat bahawa PAS lebih untung jika terus bersama Pakatan Rakyat di negeri ini, pada majlis terbuka di sini Sabtu lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BALIK PULAU - 68 peratus undi popular di Pulau Pinang kepada Pakatan Rakyat dalam Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, yang kuat dikaitkan dengan pengaruh media baru internet dijangka akan menggamit impak yang lebih besar pada PRU14 nanti, jika PAS mengambil langkah bersendirian selepas muktamar ini.

Pengerusi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Pulau Pinang, Tuan Zolkifly Md. Lazim dalam nasihatnya memberitahu, struktur sokongan rakyat mula diapung melalui media baru seperti whatsapp, instagram serta facebook, dan bukan lagi melalui sayap-sayap parti yang sedia ada.

"Pembangkang di Singapura pada pilihan raya lalu pun bertambah kuat walapun parti PAP ketat kuasai internet di negara itu.

"Kalau kita (PAS) percaya bahawa struktur parti kita bertambah kuat jika bersendirian, sebenarnya salah kerana sokongan dan bangkangan sedang diapung melalui whatsapp dan facebook," jelas Zolkifly yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang pada Majlis Dialog Komuniti Peniaga di Pekan Pulau Betong di sini, Sabtu lepas.

Justeru, Zolkifly mengumumkan penubuhan jawatankuasa penaja ke-12 daripada kesemua 13 Parlimen di negeri ini, bagi Kawasan Balik Pulau, sebagaimana diarahkan oleh Presiden PasMa Dato' Phahrolrazi Mohd. Zawawi sebelum Muktamar PAS pada awal bulan Jun depan.

Sementara itu, Zolkifly yang juga Penaung Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB) atau Koperasi 'Ropewalk Bagan' turut menggesa komuniti peniaga Melayu setempat supaya menubuhkan koperasi demi meluaskan prospek peniagaan masing-masing di negeri ini.

Terdahulu, PAS dalam pilihan raya umum yang berlangsung pada 5 Mac 2013 bertanding dua kerusi Parlimen bagi kawasan Kepala Batas dan Tasek Gelugor, serta lima kerusi Dewan Undagan Negeri (DUN) bagi kawasan Permatang Pasir, Penaga, Permatang Berangan, Sungai Dua dan Bayan Lepas.

Manakala KADUN Sungai Acheh menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang membabitkan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Ustaz Yusni Mat Piah sendiri, hatta mengakibatkan pembangkang Umno BN kekal memenangai kerusi 'berpotensi menang' tersebut.

"Dalam keadaan 'tsunami politik' dengan 68 peratus undi popular pergi kepada Pakatan Rakyat pun, PAS hanya mampu pertahan satu kerusi sedia ada (Permatang Pasir yang disandang oleh Dato' Mohd. Salleh Man), bayangkan semasa PAS sendiri.

"Saya bimbang kuasa internet seperti WhatsApp dan Facebook akan menenggelamkan sokongan rakyat kepada kita (PAS) pada PRU14 nanti, walaupun PAS masih percaya yang ia masih mempunyai kekuatan tersendiri dari segi ahli dan Islam sebagai teras parti," jelas Zolkifly.