05 May 2015

Jangan zalimi petani Permatang Pauh, Dr. Afif nasihat Menteri Pertanian

DR. Afif Bahardin (depan, lima dari kiri) diiringi Ahmad Munir Yusoff (depan, enam dari kiri) dan Chan Meng Kai (depan, paling kanan) merakamkan gambar dengan semua penerima insentif input pertanian di sini, petang tadi. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERMATANG PAUH - Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin petang tadi menasihatkan Kerajaan Pusat supaya tidak mengancam kaum petani yang kemungkinan akan mengundi calon PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh kali ini.

Beliau berkata demikian, sebagai reaksi pada kenyataan berterus-terang Menteri Petanian & Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri yang mengingatkan pengundi berwajib supaya melupakan terus peruntukan daripada kementeriannya, jika masih memenangkan calon Pakatan Rakyat berkenaan.

"Sebagai sebuah Kerajaan, baik Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) atau Kerajaan Pusat, program bantuan, kebajikan atau sumbangan serta dasar yang kita buat kena ambil kira semua orang, tanpa mengira perbezaan pandangan politiknya, bangsanya, beza agamanya dengan kita.

"Mana boleh sebuah kerajaan yang pemimpinnya berkata jika begini-begini berlaku pada pilihan raya, maka, mereka (pengundi Permatang Pauh) tak dapat apa-apa (peruntukan pertanian).

"Sesiapapun (Ahli Parlimen) yang akan dipilih orang orang Permatang Pauh, jangan ada ugutan kepada mereka (petani), itu, zalim namanya," tegas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada Majlis Penyerahan Insentif Input Pertanian kepada sekumpulan petani berwajib di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh di sini, petang tadi.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Ahmad Munir Yusoff turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Indera Kayangan, Perlis, Chan Meng Kai.

Semalam, Ismail dilaporkan berjanji akan meluluskan kesemua peruntukan pertanian bagi Parlimen Permatang Pauh, jika calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin berjaya menewaskan calon PKR, Dr. Wan Azizah yang lebih mesra dipanggil "Kak Wan".

"Soal pertanian, calon kita akan boleh bangkitkan di Parlimen. Tambahan pula ini adalah kawasan pertanian.

"Saya pasti akan luluskan semua yang diminta Suhaimi, jika beliau minta," katanya.

Tegasnya, beliau tidak berminat langsung untuk berjumpa dengan Dr Wan Azizah di pejabatnya jika calon PKR itu berhasrat merayu bantuan tersebut.

"Kalau Dr Wan Azizah, tak ada sebab pun untuk saya jumpa dia...Sampai lobi pun kita tak bagi dia masuk, sebab dia parti lain," kata Ismail sewaktu bercakap kepada lebih 100 orang penyokong BN di kawasan itu.

Ismail berkata kenyataan yang dilemparkan semalam adalah kerana wakil rakyat dari Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah meminta tolong daripada menteri BN.

Katanya, atas dasar itu adalah lebih baik pengundi di Permatang Pauh memilih BN bagi melancarkan bantuan kerajaan.

"Biasanya wakil rakyat pembangkang tidak akan minta tolong dari menteri BN. Mungkin kerana ego mereka akhirnya pengundi yang rugi.

"Selama saya jadi menteri tidak ada wakil rakyat pembangkang jumpa saya untuk minta pertolongan untuk pengundi mereka walaupun sering jumpa di Parlimen.

"Jadi saya tekan jika nak pilih wakil rakyat eloklah pilih yang boleh membantu. Jadi pilih calon BN," kata Ismail lagi, hingga mengundang reaksi dingin beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, termasuk Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai). 

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus