Skip to main content

SPA 'hadiah' untuk Anwar, pengundi Permatang Pauh, kata Guan Eng

KETUA Menteri (tujuh dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaraan Pembukaan SPA dengan memalu gong, sambil disaksikan oleh pemimpin Kerajaan Negeri yang lain di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata pembangunan SPA atau Seberang Perai Arena bernilai RM11 juta yang siap dibina di sini baru-baru ini merupakan 'hadiah' daripada Kerajaan Negeri atas perjuangan rakyat bersama-sama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memulihara sistem demokrasi negara.

Katanya, Anwar dianggap sanggup mengorbankan diri hingga disabitkan bersalah lalu dipenjara sejak 10 Februari lepas demi mempertahankan prinsip perjuangan rakyat dalam melawan rasuah, pemborosan, ketirisan serta penyelewengan kuasa yang membabitkan pemimpin tertentu Kerajaan Pusat.

“Inilah 'hadiah' dalam bentuk pembangunan untuk manfaat rakyat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.

“Sungguhpun beliau (Anwar) tidak dapat merasmikan SPA ini, beliau akan senantiasa dalam kenangan atas jasa dan baktinya kepada pengundi Permatang Pauh,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Pelancaran Pembukaan SPA di sini baru-baru ini.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Selangor turut hadir sebagai wakil Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato' Law Choo Kiang dan isteri, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Farizan Darus, para Exco Kerajaan Negeri serta beberapa wakil rakyat lain.

Menurut Guan Eng, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tersebut berkonsepkan komuniti di atas sebidang tanah berkeluasan 6.9 ekar, termasuk 25,000 kaki persegi dewan bankuet, serta arena sukan.

Katanya lagi, dewan bankuet berhawa dingin itu boleh menampung 100 meja jamuan atau 1,000 orang dalam satu-satu masa.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk ruang luar yang boleh memuatkan sehingga 300 orang.

Selain memenuhi acara keraian, Guan Eng memberitahu, SPA juga turut dilengkapkan dengan pejabat dan bilik-bilik mesyuarat, bilik AV, dewan tertutup dengan pentas, dua gelanggang untuk permainan futsal atau bola keranjang serta enam gelanggang badminton.

Tambah beliau, SPA turut menyediakan 491 parkir kereta, tujuh parkir bas dan 77 tempat letak motosikal.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDC yang telah menggunakan kepakaran dalamannya, melalui anak syarikatnya sendiri iaitu PDC Consultancy Sdn. Bhd. untuk merekabentuk projek Seberang Perai Arena ini,” jelas Guan Eng yang Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, SPA dipilih sebagai lokasi Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.