Skip to main content

P.Pinang tubuh jawatankuasa inklusiviti rekabentuk tempat awam

YAP Soo Huey (dua dari kiri), Tiun Lin Ta (paling kiri), Christ Lee Chun Kit (tiga dari kiri) dan seorang tetamu lain (paling kanan) menyantuni seorang OKU (tengah) selepa sidang media di Komtar, George Town pada pagi tadi. | Foto: Page Facebook Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Rata-rata rekabentuk tempat awam serta bangunan di tanah air ini didakwa tidak memenuhi undang-undang berwajib dan pawaian aksesibiliti sejagat yang sebenar, untuk kegunaan warga emas, wanita, kanak-kanak serta pelbagai kategori orang kurang upaya (OKU).

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berkata, Kumpulan Tindakan Aksebiliti Pulau Pinang (PAAG) akan ditubuhkan pada peringkat negeri tidak lama lagi, bertujuan untuk merealisasikan polisi akses sejagat di Pulau Pinang.

YAP Soo Huey
“Kebanyakan orang tidak memahami bagaimana seorang OKU menggunakan tandas OKU, maka, banyak tandas OKU dibina dengan salah dan tidak boleh digunakan oleh OKU. 

“Banyak orang tidak memahami kesusahan seorang pengguna kerusi roda atau nenek tua yang susah berjalan, maka, tidak prihatin tentang rekabentuk laluan pejalan kaki,” jelas Soo Huey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Akses Sejagat pada sidang media di sini, pagi tadi.

Menurut beliau, langkah pemantauan serta pendidikan kesedaran awam yang dilakukan oleh PAAG ini adalah selari Seksyen 43A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), iaitu mewajibkan semua bangunan awam menyediakan akses bagi membolehkan OKU memasuki, keluar dan berada dalam bangunan, serta menyediakan kemudahan-kemudahan berkaitan untuk digunakan oleh OKU.

Lagipun, katanya, inisiatif PAAG ini agar rekabentuk bangunan kembali mengikut Rekabentuk Sejagat, sebagaimana dituntut dalam Seksyen 34A(2) Akta 133 dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Dalam perkembangan sama, Soo Huey turut membentangkan tujuh prinsip Akses Sejagat yang akan menjadi tumpuan pada PAAG, iaitu Mampu guna, Penggunaan Fleksibel, Penggunaan Mudah & Intuitif, Daya Penyampian Maklumat Mudah, Kesilapan Minimum, Rendah Keupayaan Fizikal, serta Kesesuaian & kecukupan saiz & ruang.

“Fokus akses sejagat adalah untuk mengintegrasikan sebaik mungkin kemudahan-kemudahan untuk digunakan oleh semua golongan individu secara inklusif tanpa pengasingan,” jelas Soo Huey lagi.

ADUN Jawi, Soon Lip Chee, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chrish Lee Chun Kit dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Prof. Madya Dr. Tiun Ling Ta turut hadir pada sidang media tersebut.

Difahamkan, Jawatankuasa Kecil Akses Sejagat ditubuhkan di bawah Majli Mesyuarat Kerajaan (MMK) Kerajaan Tempatan pada tahun lepas, dan kini ditubuhkan PAAG pula demi memperbaiki mutu perkhidmatan Kerajaan Negeri ke atas golongan terpilih berkenaan.

OKU berpengalaman, pengamal undang-undang, arkitek, jurutera, pemaju, pengurus bangunan serta mereka yang berpengetahuan mengenai kekeluargaan, wanita dan orang tua dialu-alukan menghantar profil calon melalui emel yapsoohueydap@gmail.com atau hubungi “Encik Ooi” di talian 04-2265217 sebelum 1 Mei depan, untuk temuduga awam lalu dipilih menganggotai PAAG ini.