Skip to main content

Pasang GPS pada lori demi cegah pembuangan 'sampah haram', syor Exco Alam Sekitar P.Pinang

PHEE Boon Poh (belakang, tiga dari kiri), Maimunah Mohd. Sharif (belakang, dua dari kiri) serta beberapa Ahli Majlis MPSP bergambar bersama-sama model cilik yang memperagakan pakaian fesyen yang dihasilkan daripada bahan kitar semula di sini baru-baryu ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI - Semua lori pembekal yang beroperasi sekitar Seberang Perai kemungkinan akan dipasang dengan sistem kedudukan sejagat (GPS) tidak lama lagi, demi menjejaki dalang aktiviti pembuangan sampah di ketiga-tiga daerah di sini.

Menurut Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, cadangan itu perlu dipertimbang oleh MPSP terlebih dahulu, sebelum dirujuk pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Ini masih cadangan yang mesti diluluskan peringkat majlis (MPSP), sebelum dibawa masuk ke mesyuarat Exco Kerajaan Negeri (seterusnya) akan dikuatkuasakan.

“Semua syarikat yang terlibat dalam pengangkutan memungut sampah (serta) sisa-sia dari kilang, mereka mesti didaftar bersama MPSP...dan mereka mesti memasang GPS untuk tujuan pemantauan,” ujar Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu pada sidang media bersama-sama Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif.

Boon Poh berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaraan Pertandingan Mengumpul Bahan-Bahan Kitar Semula Peringkat Sekolah-Sekolah Seberang Perai 2015 di pasar raya Megamal Pinang di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Maimunah memberitahu bahawa saranan Boon Poh itu adalah langkah praktikal yang boleh dilakukan oleh MPSP kelak.

“Lori MPSP memang sudah ada GPS, apa yang dicadangkan oleh Exco tadi adalah lori-lori pembekal yang mengangkut barang dan sampah dari kawasan kilang ini masih belum ada GPS,” ujar Maimunah.

Maimunah memberitahu bahawa langkah pemantauan agresif yang dilakukan oleh MPSP sebelum ini direkodkan berjaya mengurangkan tapak pelupusan sampah haram sehingga 72 lokasi sahaja pada tahun 2014, berbanding 138 pada tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, Maimunah memberitahu bahawa MPSP mensasarkan 150 sekolah akan menyertai Anugerah Kitar Semula Peringkat Sekolah-Sekolah Seberang Perai 2015 yang buat julung kalinya diadakan pada tahun ini.

“Ini, susulan kejayaan MPSP menganjurkan Anugerah Sekolah Hijau untuk tahun keenam, yang kini disertai 106 buah sekolah rendah dan mengengah pada tahun lepas sahaja (2014).

“Pemenang (anugerah kitar semula) ini akan diberi ganjaran berupa alat-alat senaman 'outdoor',” jelas Maimunah lagi.

Pertandingan Anugerah Kitar Semula Peringkat Sekolah-Sekolah Seberang Perai 2015 ini berlangsung dalam tempoh 30 Mac hingga 31 Oktober depan.