Skip to main content

MPSP cadang buka dua tapak baru, Pasar Malam Taman Desa Damai tutup

MICHEAL Tan Cheong Heng (dua dari kiri) bersama-sama wakil JKKK Taman Desa Damai meninjau laluan trafik jalan utama Taman Gemilang Ria ke pintasan lebuh raya di sini, yang dijadikan sebagai 'tapak pasar malam sementara tanpa lesen', susulan langkah MPSP menutup operasi Pasar Malam Taman Desa Damai baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG LALANG – Pintasan lebuh raya yang baru siap dibina bagi menghubungkan Jalan Song Ban Kheng ke Bandar Perda dikenalpasti mengakibatkan lokasi Pasar Malam Taman Desa Damai berusia lebih 20 tahun tersebut kini jelas membahayakan orang awam dan kaum penjaja di sini.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Micheal Tan Cheong Heng bagaimanapun berkata, pihaknya merancang untuk membuka dua tapak pasar malam yang baru berdekatan jalan altenatif melintasi landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Kebun Sireh dan Taman Machang Bubok, demi memelihara kepentingan penjaja kecil berwajib.

“Selain ada berlaku satu kemalangan di tapak pasar malam ini pada Isnin lalu (hari kejadian), langkah MPSP (menutup operasi pasar malam) ini kerana mendapat suatu memorandum daripada penduduk tempatan bahawa lokasi ini bahaya untuk pengunjung.

“Kita (MPSP) tak paksa penjaja-penjaja kecil untuk pergi ke mana-mana tapak pasar malam, mereka bebas untuk pilih, (termasuk) sama ada berniaga di Kebun Sireh atau Taman Machang Bubok, selepas kedua-dua tapak pasar malam yang baru ini dibuka nanti,” jelas Cheong Heng kepada wartawan, selepas meninjau lokasi Pasar Malam Taman Desa Damai berhampiran Taman Gemilang Ria yang didakwa membahayakan pengunjung di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Desa Damai turut mengaku bahawa mereka tidak lagi memohon semula lesen penganjur pasar malam tersebut daripada MPSP kerana menganggap kawasan tersebut mempunyai risiko keselamatan.

Justeru, Cheong Eng berkata, pihaknya berharap JKKK Kebun Sireh dan JKKK Taman Machang Bubok dapat memohon lesen penganjur sesegera mungkin, untuk diproses oleh MPSP.

“Kelulusan permohonan bergantung pada proses teknikal yang dihadapi, tapak cadangan kita di Kebun Sireh umpamanya dikenal pasti membabitkan tanah milik persendirian dan kita akan berunding sesegera mungkin,” jelas Cheong Heng.

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri khususnya MPSP dalam memelihara kepentingan awam serta peniaga pasar malam di Daerah Seberang Perai Tengah.