Skip to main content

Masyur Jalan 'Chian Heng Kai' demi kenang jasa, kata Guan Eng

KETUA Menteri menyantuni balu Chian Meng Kai, Tan Chui See sambil disaksikan oleh hadirin lain di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH - Jalan Bayu Mutiara dekat Pekan Bukit Mertajam sepanjang 970 meter yang menghubung antara Jalan Song Ban Kheng dan persimpangan Jalan Bukit Tengah di sini kini dimasyurkan semula sebagai Jalan Chian Heng Kai.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah pemasyuran tersebut sebagai mengenang jasa Heng Kai sebagai Ahli Parlimen Bukit Mertajam pada penggal tahun 1986 dan 1995.

CHIAN Heng Kai.
“Saya berbangga kerana pengorbanan, sumbangan Datuk Chian Heng Kai kepada negara, khususnya bagi penduduk (Parlimen) Bukit Mertajam kini diiktiraf dan terpahat (sebagai salah satu nama jalan) di sini.

“Prinsip-prinsip kukuh serta semangat juang yang ditunjukkan oleh mendiang Datuk Chian adalah teladan,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Pemasyuran Jalan Chian Heng Kai di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap bekas Ahli Parlimen Bukit Mertajam), Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri), A. Thanasekharan (Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam), Soon Lip Chee (ADUN Jawi), Ong Chin Wen (ADUN Bukit Tengah), P. Kashthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif, Jusni Ismail (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah), Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Gelang Patah), Er Teck Hwa (Ahli Parlimen Bakri) dan Dr. Chen Man Hin (Penasihat Seumur Hidup DAP Kebangsaan).

Difahamkan, Heng Kai pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Gajah, selepas memengi Pilihan Raya Umum 1978.

Ketika itu, difahamkan, beliau dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama empat tahun sembilan bulan, ekoran ketegasan prinsipnya dalam memperjuangkan kepentingan pendidikan bahasa ibunda, yang dipertikai oleh pemimpin Kerajaan Pusat.

Heng Kai semasa berusia antara 70 hingga 71 tahun menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 16 Mei 2011 akibat barah hati dan disemadikan di Muar, Johor.

Mendiang Heng Kai meninggalkan seorang balu, Datin Tan Chui See dan tiga anak.