Skip to main content

Isu Cina Tanjong Bungah pertikai azan kuat

RESPONS KONTROVERSI KRITIK AZAN YANG DIDAKWA GANGGU PRIVASI SEORANG NON-MUSLIM TANJUNG BUNGAH

AZAN
Ada beberapa nas, salah satunya seperti di bawah:

"Kaum muslimin, dahulu ketika datang ke Madinah berkumpul, lalu memperkirakan waktu solat, tanpa ada yang menyerunya. (Sehinggalah) pada suatu hari, mereka berbincang-bincang tentang hal itu. Sebahagian mereka berkata: gunakan saja loceng seperti loceng Nasrani. Dan, sebahagian (lain) menyatakan: gunakan saja terompet seperti terompet Yahudi. Maka, Umar berkata: Tidakkah kalian mengangkat seseorang untuk menyeru solat? Lalu, Rasulullah S.A.W bersabda: Wahai, Bilal. Bangun dan serulah untuk solat.”

[Rujuk hadith riwayat Al-Bukhari dalam Shahih-nya, kitab Al -Adzan, Bab Bad’u Al-Adzan, no. 604; hadith riwayat Muslim, kitab Al-Masajid, Bab Man Ahaqqu Bil Imamah, no. 674]

Umumnya, ulamak berselisih pendapat mengenai status hukum azan.

1. Iman Nawawi: azan dan iqamah untuk solat fardhu  lima waktu adalah berdasarkan syariat dan ijmak yang tiada berselisih pendapat.

2. Albani: wajib, salah jika menganggapnya sekadar sunnah.

3. Ibnu Taimiyyah: fardhu kifayah

GUNA SPEAKER AZAN TERLALU KUAT
Baik orang Islam atau non-muslim umumnya tak pertikai syiar azan, sama ada di Malaysia mahupun di Pulau Pinang.

Tetapi, persoal kegunaan pembesar suara secara terlalu kuat sampai mengganggu privasi masing-masing yang dipertikai.

Maka, isunya bukan azan, tetapi, kegunaan pembesar suara secara kuat sampai mengganggu privasi masing-masing.

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: Ketahui setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.”

[Hadith riwayat Abu Daud]

Istidlal: Jika membaca Al-Quran dalam solatpun dilarang mengganggu orang lain, menggunakan pembesar suara secara terlalu kuat walaupun untuk azan sampai mengganggu privasi orang lain takkan dibolehkan secara syarak pula?

PASANG ALUNAN AL-QURAN MELALUI PEMBESAR SUARA SECARA KUAT-KUAT
Jika mengganggu privasi orang lain, maka larangannya sama seperti Rasulullah SAW larang baca Al-Quran dalam solat sampai mengganggu orang lain.

Lagipun, memasang Al-Quran secara kuat-kuat sebelum azan bukanlah sunnah yang dituntut, tetapi lebih pada amalan kebudayaan Melayu.

Maka, boleh ditinggalkan amalan Melayu itu atas sebab mengganggu privasi masyarakat, termasuk non-Muslim.

Sejauh itu, syariat yang betul adalah membaca Al-Quran sendiri, atau diam bagi pendengarnya, berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

[Surah al-A’raaf:204]

Kalau budaya memasang pembesar suara secara terlalu kuat untuk alunan Al-Quran sebelum azan telah lama dilakukan oleh generasi terdahulu yang menguruskan masjid sekalipun, amalan itu bukanlah sumber hukum syarak untuk dipertahankan sebagai hujah,  jika nyata sampai mengganggu privasi masyarakat, termasuk non-Muslim.

Marilah ambil pengajaran daripada ayat Al-Quran di bawah ini, kerana kaedah usul tafsir pun menyebut al-'ibrah bi umumi al-lafzi la khususan bi sababihi.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah mereka menjawab: (Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayat (dari Allah)”

[Surahal-Baqarah : 170]

KESIMPULAN
Sesungguhnya lebih hikmah jawatankuasa masjid membuat kenduri untuk mengajak umat Islam mengimarahkan majlis, serta dialog antara agama untuk dakwah kepada non-Muslim, berbanding buka pembesar suara kuat-kuat sampai menyakiti perasaan komuniti sekeliling.

Berbalik pada gambar tulisan tidak puas hati seorang non-Muslim dari Tanjong Bungah yang viral di WhatsApp sejak semalam, elok peribadi berkenaan membuat aduan berwajib.

Ada tiga faedah, (1) polis dan jabatan agama Islam boleh siasat, (2) boleh mencegah provokasi perkauman pihak tak bertanggungjawab, dan (3) ruang dakwah kepada komuniti termasuk non-Muslim.

Wallahu 'alam.


ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang

+60194241583
faqar.blogspot.com