Skip to main content

Warga emas terima RM100 bimbang impak GST, kata Guan Eng

KETUA Menteri (tengah) diiringi A. Tanasekharan (tiga dari kiri) dan Phee Boon Poh (empat dari kanan) merakamkan gambar dengan penerima sumbangan RM100 Program Warga Emas di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengaku bahawa beliau turut menerima pelbagai reaksi berhubung impak berantai daripada pelaksanaan 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April ini ke atas rakyat terbanyak, semasa menyertai beberapa majlis pemberian sumbangan RM100 kepada warga emas di sini baru-baru ini.

“Kita pun tahu impaknya, dan cadangan untuk menaikkan dari RM100 kepada RM200 ini kerana ada warga emas yang ditemui tahu bahawa GST ini akan membebankan lagi hidup mereka.

“Kalau dapat RM500 BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) pun, 6 peratus GST tetap akan menimpa kita semua, tidak kira kita ini adalah orang miskin atau warga emas atau anak yatim dan sebagainya kerana RM500 inipun sebenarnya tidak cukup,” ujar Guan Eng kepada wartawan, pada Majlis Penyerahan Sumbangan RM100 Kepada Warga Emas Peringkat Parlimen Bagan.

Justeru, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan sekali lagi menasihatkan Kerajaan Pusat supaya menangguhkan hasrat pelaksanaan GST, yang nyata membebankan rakyat terbanyak di tanah air ini.

“Kerana itu, kita (Kerajaan Negeri) berkali-kali minta Kerajaan Pusat menangguhkan GST, kerana MPSP dan MPPP pun akan dikenakan GST atas urusan perkhidmatan serta perolehannya, walaupun kedua-dua PBT (pihak berkuasa tempatan) ini tidak melaksanakan aktiviti perniagaan komersial,” tegas Guan Eng.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharan turut menyertai sidang media tersebut.

ANG Ah Lean
Sementara itu, Ang Ah Lean, 71, yang ditemui kemudian mencadangkan Kerajaan Negeri menaikkan sumbangan tahun untuk warga emas pada jumlah RM200, memandangkan Kerajaan Pusat melaksanakan GST.

“Kita tidak paksa, tetapi kita seronoklah kalau (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang boleh tambah RM100 lagi.

“Sudah lima kali saya terima RM100 ini, kalau boleh naik RM100 lagi menjadi RM200, lagi soronok kerana hidup akan susah (dengan) harga barang akan naik,” ujar Ah Lean, sambil melahirkan penghargaan kepada pentadbiran Guan Eng.

MUNAH Yaasin
Manakala, Munah Yassin, 63, pula mencadangkan Kerajaan Pusat mengagihkan sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isteri setimpal dengan jumlah yang suami terima kelak.

“Baguslah sumbangan RM100 kepada warga emas ini kerana saya sendiri yang dapat, BR1M RM500 kalau diterima oleh suami, tidak sampai kepada kita (isteri).

“Pak Cik pun warga emas, dia dapat juga RM100, saya pun dapat RM100, tak macam BR1M,” ujar Munah, sambil mengaku bahawa beliau sudah tiga kali menerima RM100 daripada Kerajaan Negeri.

Manakala, G. Givedasan, 64, pula melahirkan rasa bimbang dengan pelaksanaan GST, yang dianggap kurang menguntungkan rakyat.

G. Givedasan (kanan) dan isteri, M.S.Parubathi.
“Saya sudah terima tiga kali, isteri angkat (terima) RM100 dua kali.

“Sumbangan sebegini bagus, tetapi, kadang-kadang Kerajaan Negeri perlu fikir lebih untuk rakyat selepas GST ini, kerana Kerajaan Pusat kata GST O.K. (dan) rakyat kata tak O.K.,” Givedasan bersama-sama isterinya, M.S. Parubathi, 60-an.

Majlis sumbangan RM100 kepada warga emas berdaftar dilangsungkan secara serentak meliputi kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).