Skip to main content

Dalang provakasi ditangkap, KM puji Masjid Telaga Air

KETUA Menteri (dua dari kiri) bersalaman dengan anak kariah Masjid Telaga Air yang dikatakan berjaya menangkap dalang provokasi terbabit, dengan Abdul Malik Abul Kassim (kiri sekali) dan Lim Hock Seng (kanan sekali) turut menyertai pertemuan tersebut di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Kejayaan ahli kariah menangkap dalang yang membaling bungkusan berisi daging babi ke dalam Masjid Tegala Air dekat Butterworth mendapat pujian Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.


“Kerajaan Negeri Pulau Pinang memuji jemaah Masjld Telaga Air di Butterworth atas kejayaan mereka memberkas seorang lelaki.

“Kerajaan Negeri mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah yang tidak bertamadun itu,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Insiden itu, menurut beliau, mengingatkan warga Pulau Pinang terhadap tiga kes serangan berunsur provokasi ke atas rumah ibadat bukan Islam di negeri ini dahulu.

“Dua kejadian awal telah berlaku di Wat Buddha Siam di Tanah Liat, bukit Mertajam dan di Kuil Hindu Kaliamman di Pokok Machang, Tasek Gelugor.

“Kedua-dua serangan itu berpunca daripada lelaki yang turut dipercayai mengalami masalah mental, di mana dia telahpun ditangkap oleh polis,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Kassim Abul Kassim dan Lim Hock Seng (ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Utiliti) turut menyertai pertemuan tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, Kerajaan Negeri menyeru rakyat yang berbilang kaum supaya bertenang serta tidak terpengaruh oleh perbuatan-perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

Justeru, Guan Eng menggesa pihak polis supaya bertindak pantas dan tegas terhadap insiden terbaru itu demi memulihara semula keharmonian agama serta keamanan rumah-rumah ibadat di negeri ini.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bekerjasama secara aktif dengan semua pihak yang terbabit untuk memastikan serangan-serangan ini tidak akan menjejaskan perpaduan dan kestabilan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.