Skip to main content

Audit Negara mesti bebas bongkar skandal 1MDB, kata Guan Eng

(Dari kiri) HAN Chee Rull, Nur Jazlan Mohamed, Ketua Menteri, Zairil Khir Johari dan Steven Sim Chee Keong merakamkan gambar selepas selesai forum di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Jabatan Audit Negara mesti dibebaskan daripada kuasa eksekutif Kerajaan Pusat, demi membolehkan skandal hutang luar biasa berjumlah RM42 bilion yang membabitkan syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) disiasat secara terbuka serta dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tahunan akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaan Forum "Audit Kerajaan: Formaliti atau Kebertanggungjawaban?", anjuran Penang Institude (PI) di sini baru-baru ini.

Bagi Guan Eng, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato' Setia Ambrin Buang sepatutnya sudah boleh ke depan dalam menyiasat skandal 1MDB yang dibangkitkan banyak pihak belakangan ini, supaya tidak lagi mengulangi rekod kegagalan negara dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dahulu.

"Membingungkan apabila melihat Ketua Audit Negara masih enggan membuka buku 1MDB.

"Ini adalah salah satu perkara yang Ketua Audit Negara boleh membetulkan dan menyelamatkan negara daripada mengalami kerugian teruk.

"Dalam erti kata lain, mencegah satu lagi skandal yang tiga kali skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (melibatkan wang negara berjumlah) RM13 bilion," tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada majlis yang dilangsungkan di Universiti Terbuka Wawasan (WOU) di sini.

Mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2013 lagi, Guan Eng berkata, ketirisan dalam tadbir urus Kerajaan Pusat seperti dalam skandal 1MDB sebenarnya turut memberi kesan berantai pada rancangan pembangunan Kerajaan Negeri, termasuk di Pulau Pinang.

Memetik laporan tahun sehingga 31 Disember 2013 itu, Guan Eng berkata, hanya 58.3 peratus daripada peruntukan yang diluluskan berjumlah RM363.39 juta telahpun dibelanjakan, namun, Pulau Pinang direkodkan berjaya menyiapkan 98.4 peratus daripada sejumlah 3,516 projek yang dirancang.

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sebenarnya telah kurang berbelanja, tetapi, mencapai lebih banyak (pencapaian).

“Ini, diterjemahkan sebagai bijak, selain sistem penyampaian yang berkesan dan kebergantungan pada sistem tender terbuka yang berdaya saing serta menggalakkan ketelusan dan kecekapan,” jelas Guan Eng lagi.

Tambah Guan Eng, laporan audit terbaru tahun 2013 yang dipetik turut mendedahkan kutipan hasil di Pulau Pinang menyaksikan peningkatan sebanyak 27.4 peratus, berbanding peningkatan yang dicapai Kerajaan Pusat pada angka 2.6 peratus sahaja.

Katanya lagi, lebihan kewangan saban tahun sejak 2008 yang dicapai walaupun Kerajaan Negeri mengamalkan bajet defesit, turut dipuji dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong selaku salah seorang panelis pada forum tersebut berkata, Ahli Parlimen di Dewan Rakyat atau Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) yang ditubuhkan di bawah Parlimen pun sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Ketua Audit Negara menyiasat skandal seperti 1MDB.

Justeru, katanya, Jabatan Audit Negara pada masa depan lebih wajar diletakkan di bawah Parlimen supaya lebih bebas daripada pengaruh kuasa eksekutif Kerajaan Pusat, berbanding sekarang.

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Ketua Pengarah Eksekutif PI, Zairil Khid Johari turut menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis wacana tersebut.

Ahli Parlimen Pulai merangkap Pengerusi PAC, Dato' Nur Jazlan Mohamed dan Penasihat Undang-Undang bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Han Chee Rull turut tampil sebagai panelis pada forum terbuka tersebut.