30 January 2015

Pos Malaysia kenakan caj tambahan 90 sen, bukan PBAPP – Jaseni Maidinsa

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir Jaseni Maidinsa berkata, bil air yang dibayar di sembilan kaunter Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tetap tidak akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak 90 sen, sebagaimana di Pejabat POS Malaysia kini.

“PBAPP ingin menegaskan bahawa pembayaran caj (tambahan) RM0.90 sen ini dikenakan oleh Pos untuk kutipan bil air. 

“PBAPP tidak mendapat apa-apa daripada bayaran RM0.90 (yang ditetapkan) Pos Malaysia,” ujar Jaseni pada sidang media di sini baru-baru ini.

Untuk mengelak caj perkhidmatan yang dikenakan Pos Malaysia, katanya, proses pembayaran boleh dilakukan di sembilan kaunter PBAPP, iaitu di Komtar, Balik Pulau, Bayan Baru, Bukit Mertajam, Jawi, Kepala Batas, Kompleks Perai dekat Fasa 4 Kawasan Perindustrian Perai, Rifle Range dan Taman Selat dekat Bagan.

Malah, katanya lagi, proses pembayaran bil air di kesemua pusat pungutan terpilih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), dan Telekom Malaysia turut tidak akan dikenakan apa-apa caj tambahan seperti di kaunter pelanggan Pos Malaysia.

“PBAPP tidak memaksa mana-mana pengguna membayar yuran perkhidmatan RM0.90 apabila membayar bil-bil air Pulau Pinang,” jelasnya lagi.

Terdahulu, pelanggan PBAPP dari Bandar Sri Pinang dan Taman Hijau menuntut penjelasan PBAPP berhubung caj perkhidmatan sebanyak 90 sen yang dikenakan untuk pembayaran bil air di kaunter POS Malaysia atau Pos Mini.

Sambil mendakwa PBAPP cuba berdiam diri berhubung perkara berbangkit tersebut, wakil mereka mendesak PBAPP supaya menyerap caj tambahan tersebut, atas alasan membebankan lebih 500,000 pengguna bekalan air di negeri ini. 

Pengerusi Hal Ehwal Korporat PBAPP, K. Jeyabalan dalam satu reaksi spontan semasa itu dilaporkan menjelaskan bahawa yuran pemprosesan tersebut dikenakan oleh POS Malaysia, dan PBAPP terpaksa mengenakan caj tersebut kepada penggunanya.

Jaseni tampil menjelaskan sekali lagi mengenai status sebenar caj perkhidmatan 90 sen yang dikenakan Pos Malaysia itu, bukanlah cadangan daripada PBAPP.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus