10 December 2014

Exco Kesihatan perjelas punca wad Hospital Sbrg. Jaya sesak

DR. AFIF Bahardin (dua dari kiri) dan isteri, Dr, Mardhiah Zakaria (empat dari kiri) bersama-sama beberapa jururawat berinteraksi dengan salah seorang ibu bayi baru lahir di katil tambahan dekat laluan tengah salah satu wad bersalin Hospital Seberang Jaya di sini, Sabtu lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berharap rancangan Kerajaan Pusat untuk menaik taraf hospital-hospital di negeri ini dapat disegerakan secepat mungkin.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian cenderamata serta edaran borang permohonan Sumbangan 'Bayi Emas' RM200 kepada waris bayi baru lahir di Hospital Seberang Jaya di sini, Sabtu lepas.

"Setakat ini memang ada rancangan untuk membina sebuah bangunan bertingkat di sini (Hospital Seberang Jaya), dan memang kita telahpun meminta Kementerian (Kesihatan) untuk mempercepatkan.

"Macam hari ini, sepatutnya ada 28 katil sahaja (dalam wad bersalin), tetapi ada pertambahan sampai 20 katil," jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada wartawan.

Isterinya, Dr. Mardhiah Zakaria turut menyertai majlis tersebut.

Katanya, lambakan pesakit di wad bersalin Hospital Seberang Jaya kini mungkin memakan masa dalam dua hingga tiga tahun, memandangkan wad bersalin Hospital Pulau Pinang dekat Datuk Keramat terpaksa ditutup dalam satu tempoh untuk kerja menaiktaraf menjadi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang baru.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Afif turut mensyor Kerajaan Pusat supaya menjelaskan status terkini mengenai rancangan menaik taraf Bahagian Forensik di Hospital Balik Pulau, sebagaimana diumumkan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau merangkap Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya. 

Terdahulu, Dr. Afif pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat George Town baru-baru ini turut menjelaskan bahawa bilangan katil yang dibekalkan di kesemua hospital kerajaan di negeri ini adalah mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, ruang wad yang sedia ada menjadi sesak dengan katil-katil tambahan mengikut keperluan pesakit.

Menurut beliau, Hospital Pulau Pinang mempunyai 1,107 katil, Hospital Seberang Jaya (314 katil), Hospital Bukit Mertajam (242 katil), Hospital Kepala Batas (108 katil), Hospital Sungai Bakap (105 katil) dan Hospital Balik Pulau (71 katil).

Memetik Rancangan Malaysia Ke-10, katanya lagi, Kerajaan Pusat turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak dekat Jalan Residensi, serta blok bertingkat baru Hospital Sebarang Jaya.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus