SEGAK Ustaz Mohd. Nazri Idris lengkap dengan serban hitam berseberangan guru PSSPGM semasa ditemui di sini, petang tadi. |
MEREKA yang bergelar 'Ustaz' jarang kita temui dalam dunia persilatan antaranya kerana dunia seni bela diri dalam alam Melayu dikatakan sarat dengan amalan mistik yang digambarkan bertentangan dengan suluhan agama Islam yang sebenar.
Namun, bagi Ustaz Mohd. Nazri Idris, 44, dunia persilatan Melayu seperti Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) yang disertainya kini sebenarnya telah banyak menerima pengaruh Islam.
"Kerana selalu Ustaz dijumpai dalam dunia keagamaan, memang kehadiran saya (sebagai Ustaz) dalam dunia silat selalu dianggap lain.
"Sebenarnya saya datang membesar dalam keluarga yang memang belajar silat, ayah saya adalah guru pengamal silat di Kedah," ujar Ustaz Mohd. Nazri semasa ditemui di Dewan Yayasan & Madrasah An-Nahdhoh dekat Penanti, petang tadi.
Menurut Ustaz Mohd. Nazri, majlis petang ini adalah Istiadat Penganugerahan Selendang kepada Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, yang membawa gelaran "Imam Khalifah Negeri" PSSPGM.
TANGGUNGJAWAB BERAGAMA
Sementara menunggu upacara istiadat dilangsungkan di sini, Ustaz Mohd. Nazri sempat berkongsi ilmu agamanya dalam melihat dunia pesilatan Melayu.
"Kedatangan Islam bukan membunuh semua budaya dalam dunia Arab itu sendiri. Islam hanya men'tanzih' (membersihkan) kebudayaan supaya tidak bertentangan dengan aqidah Islam.
"Satu lagi, amalan yang baik diperbaiki lagi selepas kedatangan Islam, apa yang kita sebut sebagai syar'un ma qablana.
"Sebagai orang yang belajar agama, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan aktiviti persilatan yang kita sertai pun ikut Islam.
"Yang mana nampak bercanggah, pakat-pakat kita perbetulkan," jelas Ustaz Mohd. Nazri lagi.
Tambah Ustaz Mohd. Nazri lagi, beliau anggap belajar ilmu bela diri ini adalah demi menyifatkan rohani dan jasmani diri, selain, sebagai menyahut tuntutan Al-Quran yang berbunyi:
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu...." [Surah Al-Anfal: 60]
Ustaz Nazri memberitahu, beliau girang menyertai beberapa seni bela diri lain, Bangau Putih, Tomoi, Abjad, Silat Pulut serta berapa seni silat rumpun kecil Melayu lain.
DIDIK KOMUNITI
Tahu tidak tahu, Ustaz Mohd. Nazri Persatuan Penduduk dan Surau setempat di Pangsapuri Nibong Indah dekat Pantai Jerejak.
Terbaru, beliau membuka gelanggang silat di sini.
"Di kawasan kediaman saya pun, saya buka satu gelanggang PSSPGM untuk anak-anak sertai.
"Sebelum mula berlatih di gelanggang, kita sulam mereka dengan pengajian Al-Quran, cerita kehebatan Rasulullah SAW dan para
Sahabat, serta sikit-sikit mengenai ilmu fadhu 'ain.
"Memang kena buat sebegini, supaya tidak ada anak-anak kita yang terpengaruh oleh gejala tak elok," ujar Ustaz Mohd. Nazri lagi.
Ustaz Mohd. Nazri Idris boleh dihubungi di WhatsApp 0195401789.
No comments:
Post a Comment