09 November 2014

Surat Azmin sendiri minta Pusat dedah inti perjanjian KIDEX, kata Anwar Ibrahim

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PENANTI - Menteri Besar Selangor Azmin Ali sendiri dalam suratnya meminta Kerajaan Pusat mendedahan inti perjanjian Projek Lebuh raya Kinrara-Damansara (KIDEX) bernilai RM9.6 bilion, tegas Penasihat KeADILan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada wartawan.

ANWAR Ibrahim
Menurut Anwar, inti perjanjian KIDEX tidak wajar dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana membabitkan proses penebusgunaan tanah rakyat.

"Saudara Azmin telah tulis surat kepada Kerajaan Persekutuan meminta (inti perjanjian) ini dibuka.

"Kalau betul perjanjian itu telus membawa faedah untuk rakyat, takut apa untuk dedahkan.

"Yang paling penting, projek ini mesti didedah dan dinilai sebaik mungkin agar memberi manfaat terbanyak kepada rakyat, bukan segelintir orang kaya tertentu," ujar Anwar pada pagi tadi, selepas selesai Majlis Perasmian Naik Taraf Jalan Madrasah An-Nahdhoh & Projek Tebatan Banjir Parlimen Permatang Pauh di sini.

Pengerusi KeADILan Pulau Pinang merangkap Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Datuk Mansor Othman, Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang) dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut menyertai sidang media itu.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan An-Nahdhoh merangkap Mudir Madrasah An-Nahdhoh, Tuan Guru Haji Mutalib Maarof.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Dr. Dzulkefly Ahmad mewakili PAS, Rafizi Ramli (PKR) dan Tony Pua (DAP) turut dilantik atas nama Pakatan Rakyat untuk memberi nasihat supaya pendirian Azmin dalam isu KIDEX serta isu air negeri tidaklah bercanggah dengan perjanjian yang memungkinkan risiko negatif pada Kerajaan Negeri.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ketua Umum Pakatan Rakyat turut melahirkan rasa terharu atas doa yang tidak putus-putus daripada semua pihak berhubung perbicaraan kes konspirasi Fitnah Liwat II di Mahkamah Rayuan Putrajaya yang didepaninya kini.  

Terdahulu, Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mndakwa Azmin sebagai 'bapa hipokrit' susulan keputusan Menteri Besar berkenaan meneruskan projek KIDEX.

Menurut Noh, keputusan Azmin untuk meneruskan perjanjian Kidex itu dahulu pernah menjadi antara alasan Tan Sri Khalid Ibrahim wajar melepaskan jawatan Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus